Majlis Menandatangani MoU antara UNIMAS dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS)

0
139
Sesi pertukaran dokumen MoU antara Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi (tiga dari kiri) dan Encik Ahmad Idham Ahmad Nadzri (dua dari kanan)

KOTA SAMARAHAN, 26 April 2019 (SNN)– Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah mementerai Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), bertempat di Rumah Universiti pada hari ini. Majlis tersebut telah dihadiri oleh Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Bin Suaidi, Dekan Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, Prof. Madya Dr Musdi bin Hj Shanat, Pengerusi FINAS, Dato Gerald Hans Isaac, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Encik Ahmad Idham Ahmad Nadzri, Timbalan-timbalan Naib Canselor, Dekan-dekan, Ahli Lembaga Pengurusan Universiti, wakil-wakil dari FINAS dan lain-lain.

Naib Canselor UNIMAS, Yang Berbahagia Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Bin Suadi dalam ucapan beliau meluahkan rasa penghargaan kepada FINAS kerana sentiasa memberi sokongan padu kepada UNIMAS dengan menyalurkan dana dan menyediakan latihan kepada pelajar-pelajar UNIMAS dan penglibat industri untuk tujuan pembangunan perfileman tanah air. Beliau berkata, kerjasama ini akan membantu FSGK UNIMAS dalam memperkukuhkan latihan-latihan perfileman, latihan industri, penyelidikan dan perundingan, pengajaran dan pembelajaran serta jalinan dalam industri perfileman. “Ia akan menjadi pemangkin kepada pembangunan industri perfileman dan media di Sarawak khasnya mahupun di Borneo secara amnya seiiring dengan misi UNIMAS yang sentiasa berusaha untuk menjadi sebuah universiti contoh yang diiktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa.

“ Malah, usaha ini bertepatan dengan peranan FSGK sebagai fakulti di institusi pengajian tinggi yang menawarkan bidang kesenian untuk memangkin penyelidikan ilmiah serta penerbitan yang berkualiti,” katanya lagi. Sementara itu, antara objektif MoU UNIMAS dan FINAS adalah sebagai ruang untuk berkongsi pelbagai isu yang berkaitan dengan industri perfileman. Antara kandungan utama MoU ini termasuk kerjasama di dalam program-program latihan berkaitan industri perfileman dan “masterclass”, latihan industri, penyelidikan, perundingan, bengkel, persidangan, jalinan hubungan industri, pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan komuniti filem dan media. Antara agenda utama yang dipersetujui pada masa terdekat adalah peruntukan Dana Kandungan Digital (DKD) yang melibatkan Dana Produksi dan Dana Mikro sebanyak RM5000 bagi setiap calon atau pelajar-pelajar dan pengkarya filem baharu bagi memberi peluang kepada mereka berkarya dengan platform online.

Kerjasama di antara FINAS dan UNIMAS telah lama terjalin iaitu sejak awal tahun 2000 lagi apabila ketika itu FINAS bersama FILEM NEGARA sedang berjinak-jinak dengan medium digital. UNIMAS selaku institusi yang bertanggungjawab dalam pembangunan industri media/digital di Sarawak pada ketika itu berkerjasama dengan FINAS dan FILEM NEGARA dalam penerbitan 13 episod dokumenteri untuk penyiaran Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM). Malah, FINAS dan FSGK turut bekerjasama dalam latihan perfileman, masterclass, Apresiasi Filem dan aktiviti-aktiviti pembangunan perfileman di Sarawak.

Sesi menandatangani memorandum persefahaman oleh kedua-dua pihak telah disempurnakan oleh Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim bin Suaidi, dan Ketua Pengarah FINAS, Encik Ahmad Idham Ahmad Nadzri serta disaksikan oleh Dekan FSGK, Profesor Madya Dr Musdi Shanat dan Timbalan Ketua Pengarah FINAS, Puan Subaidah Md Top.

Sesi pertukaran dokumen MoA antara Professor Datu Mohd Fadzil bin Abdul Rahman (tiga dari kiri) dan Encik Victor Hii Liu Thian (dua dari kanan)
 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here