Ibu-Ibu Bekerjaya Disaran Meluangkan Masa Mendidik Anak-Anak

0
619
Hajah Sharifah Hasidah turut menyampaikan Anugerah Ibu Gemilang kepada empat orang wanita yang bergelar ibu kepada kanak-kanak istimewa pada Program Sambutan Hari Ibu anjuran Persatuan Kuih Muih Sarawak

KUCHING, 24 April 2019 (SNN)- Ibu-ibu yang bekerjaya disaran untuk meluangkan masa mendidik anak-anak walaupun sibuk dengan kerjaya. Ibu-ibu juga diharap mendidik anak-anak mereka dengan sebaiknya supaya apabila mereka besar nanti dapat menyumbang khidmat kepada masyarakat.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek) YB Hajah Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata sebagai ibu kita mahukan yang terbaik untuk anak-anak demi masa depan mereka dan berharap apabila besar kelak mampu menyumbang yang terbaik kepada masyarakat.”Kita sebagai ibu berharap dapat mendidik anak-anak kita dengan baik dan seterusnya dapat memberikan sumbangan khidmat kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika mewakili Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak YB Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah di Program Sambutan Hari Ibu anjuran Persatuan Kuih Muih Sarawak, semalam. Sementara itu, ibu-ibu yang bekerja digesa dapat meluangkan masa dalam mendidik anak-anak mereka dengan memberikan tumpuan dan bimbingan yang sewajarnya.

“Ketika ini ramai ibu dan wanita yang berjaya dalam kerjaya. Walaupun mempunyai kerjaya dan sibuk, tetapi ibu-ibu tetap mempunyai masa dalam mendidik anak-anak sehingga berjaya. Inilah yang kita mahukan. Walau sesibuk mana kita bekerjaya, peranan dan tanggungjawab ibu dalam memberikan pendidikan dan tumpuan kepada anak-anak janganlah kita abaikan,” tambahnya.

Program Sambutan Hari Ibu ini merupakan sebahagian daripada aktiviti kebajikan yang dilaksanakan Persatuan Kuih Muih Sarawak dalam membantu mereka yang kurang berkemampuan. Pada majlis itu, Hajah Sharifah Hasidah turut menyampaikan Anugerah Ibu Gemilang kepada empat orang wanita yang bergelar ibu kepada kanak-kanak istimewa.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kuih Muih Sarawak Zaiton Istiar Khan memberitahu Program Sambutan Hari Ibu ini merupakan program tahunan yang dianjurkan pada setiap tahun sebagai penghargaan kepada ibu-ibu di Sarawak.

“Tahun ini merupakan tahun ke 16 Program Sambutan Hari Ibu dianjurkan Persatuan Kuih Muih Sarawak dengan mendapat kerjasama dari Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak serta Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DBUS) Wanita Cawangan Kuching. Ini adalah penghargaan kepada ibu-ibu di Sarawak sebagai menghargai sumbangan dan pengorbanan dalam mendidik anak-anak dari kecil sehingga dewasa dan berjaya dalam kehidupan mereka,” ujarnya.

Hajah Sharifah Hasidah semasa menyampaikan ucapan mewakili Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak , Hajah Fatimah Abdullah di Program Sambutan Hari Ibu anjuran Persatuan Kuih Muih Sarawak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here