Mahkamah Bumiputera Akan Dinaiktaraf Bagi Menyelesaikan Kes Tuntutan Sivil Belum Diselesaikan

0
714
John Sikie Tayai semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini (Foto-Ukas)

KUCHING, 03 Mei 2019 (SNN)- Mahkamah Bumiputera akan dinaiktaraf bagi menyelesaikan kes tuntutan sivil yang belum diselesaikan. Sebanyak 50.6 peratus kes tuntutan sivil telah berjaya diselesaikan sehingga 28 Februari ini berbanding 49.4 peratus kes yang masih belum diselesaikan. Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri YB Datuk John Sikie Tayai berkata jumlah kes tuntutan sivil ini merangkumi 4,684 kes yang telah didaftarkan sehingga tarikh tersebut.

“Bagi Kes Tuntutan Sivil, terdapat 4,684 kes telah didaftarkan. Daripada jumlah itu, 2,370 kes atau 50.6 peratus telah diselesaikan. Sementara kes yang belum diselesaikan adalah sebanyak 2,314 kes atau 49.4 peratus. Sementara itu, bagi kes Permohonan Untuk Dikenali Sebagai Komuniti Bumiputera di bawah bidang kuasa Mahkamah Bumiputera Residen, jumlah permohonan yang didaftar adalah 1,657 kes. Daripada jumlah itu, 269 kes atau 16.2 peratus telah diselesaikan dan 1,388 kes atau 83.7 peratus sedang dan dalam proses untuk diselesaikan,” katanya ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian YB Yussibnosh Balo semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Sementara itu, sebanyak 72 orang Majistret di Mahkamah Bumiputera Sarawak mengendalikan kes-kes sivil seperti kes pertikaian ke atas Tanah Adat Bumiputera yang sah.”Terdapat dua kategori majistret di Mahkamah Bumiputera Sarawak iaitu majistret yang dilantik secara kontrak dan pelantikan automatik ke atas jawatan yang disandang.

“Kategori pertama adalah mereka yang dilantik secara kontrak dari tahun ke setahun yang terdiri daripada seorang Presiden, Mahkamah Bumiputera Rayuan Presiden (Native Courts of Appeal), dua orang Majistret, Mahkamah Bumiputera Residen dan 17 orang Majistret Mahkamah Bumiputera Daerah”. 

“Kategori kedua adalah seramai 52 orang Ex-Officio (pelantikan automatik atas jawatan yang disandang) yang terdiri daripada 12 orang Residen Bahagian iaitu Majistret Mahkamah Residen Bahagian (Resident Native Courts Magistrates) dan 40 orang Pegawai Daerah iaitu Majistret Mahkamah Bumiputera Daerah (District Native Courts Majistrates),” tambahnya.

Sementara itu, Datuk John Sikie dalam jawapan tambahan mengenai rancangan Kerajaan Sarawak untuk menyelesaikan kes-kes yang belum selesai dan rancangan untuk menyokong Mahkamah Bumiputera ini menjelaskan satu kajian menyeluruh telah dibuat bagi menaik taraf Mahkamah Bumiputera supaya setanding dengan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

‘Kerajaan Sarawak telah membuat keputusan agar satu kajian menyeluruh dibuat untuk mengkaji semula struktur dan menaik taraf Mahkamah Bumiputera Sarawak supaya ianya menjadi institusi yang bebas dan berautonomi setanding dengan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. Terma rujukan bagi kajian telah selesai dibuat dan Kerajaan Sarawak telah melantik Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Teknikal untuk memastikan kajian dijalankan mengikut terma rujukan dan hasil kajian memenuhi objektif dan hasrat Kerajaan Sarawak. Untuk itu, juruperunding bagi melaksanakan kajian ini akan dilantik sedikit masa lagi,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here