Azeem Remaja Terpantas Dunia

0
284
Muhammad Azeem Mohd Fahmi diiktiraf sebagai remaja terpantas di dunia

KUALA LUMPUR, 02 Mei 2019 (SNN)- Muhammad Azeem Mohd Fahmi diiktiraf sebagai remaja terpantas di dunia untuk peringkat umur bawah 16 tahun (B16) dalam acara 200 meter (m) berdasarkan kajian terperinci dilakukan oleh ahli Kesatuan Statistik Balapan dan Padang (ATFS), Jad Adrian Washif.

Menurutnya, catatan masa 21.24 saat (s) yang dilakukan atlet berusia 15 tahun itu pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Johor minggu lalu meletakkannya sebagai remaja terpantas di dunia.

Mengulas lanjut, jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim mendedahkan yang dia sebenarnya sudah menyedari bakat dimiliki Azeem ketika atlet itu di tingkatan satu dan cuba untuk membawanya berpindah ke Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI). Namun, disebabkan Azeem tidak menjalani TID (program mengenal pasti bakat) ke sekolah sukan kebangsaan, jadi dia tidak layak. Sebaliknya, dia meneruskan persekolahannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat.

“Bagi saya, biarlah Azeem terus berlatih di bawah jurulatihnya ketika ini. Saya ada bercakap dengan jurulatihnya sebelum ini, dan dia memberitahu Azeem sebenarnya tidak didedahkan lagi dengan latihan yang sebenar termasuklah latihan di gimnasium. Apa yang dicapainya sekarang adalah disebabkan bakat semulajadinya. Jadi, dia perlu diberikan segala kemudahan latihan yang betul bermula dari sekarang. Mungkin masih terlalu awal untuk menghantar dia menjalani latihan di luar negara, tetapi dia perlu mendapat latihan yang lebih baik,” katanya.

Mungkin hari ini atlet pecut muda negara, Azeem dianggap sebagai permata yang bersinar tetapi bukan sesuatu yang mengejutkan dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi ia bertukar menjadi pudar. Dengan sistem sukan negara yang masih ditakuk lama, tidak mustahil nama Azeem akan tenggelam begitu saja jika tidak menerima sokongan berterusan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Mohd Poad menyuarakan kebimbangannya jika atlet dari Perak itu menerima nasib sama seperti anak didiknya, Khairul Hafiz Jantan yang gagal mendapat sokongan berterusan biarpun suatu ketika namanya dijulang sebagai wira susulan kejayaan meraih pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

“Sistem sukan di negara kita masih di tahap yang sama. Sejujurnya, saya terkilan dengan apa yang menimpa Khairul Hafiz kerana sejak 2016 lagi saya sudah memohon untuk menghantar dia menjalani latihan di Amerika Syarikat.

“Namun, perancangan itu tidak boleh diteruskan kerana kekangan kewangan. Malah, selepas dia memenangi emas Sukan SEA pun, perkara itu terus senyap. Kita sebenarnya mempunyai ramai atlet yang berbakat besar termasuklah Azeem. “Begitupun, tiada kesinambungan yang dilakukan untuk mengekalkan atau membolehkan atlet mencapai kejayaan yang lebih tinggi. Jadi, saya harap Azeem tidak menerima nasib yang sama seperti Khairul Hafiz. Pihak yang berkepentingan perlu memberi sokongan yang sepenuhnya,” kata Poad. Sumber Bho

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here