Limbang Dapat Peruntukan Hampir 600 Juta Untuk Bangunkan Kawasan

0
782
Dr Haji Abdul Rahman semasa berucap pada Majlis Perasmian Karnival Belia Limbang 2019 anjuran SABERKAS Cawangan Bukit Kota dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Limbang di Lapangan Terbang Lama Limbang, semalam.

LIMBANG, 22 April 2109 (SNN)- Limbang mendapat peruntukan hampir RM600 juta untuk membangunkan kawasan. Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan jumlah tersebut bagi pelaksanaan Projek Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) di Daerah Limbang bagi tempoh 2019 hingga 2020. Menteri Muda Pertanian Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, YB Dr Hj Abdul Rahman Ismail berkata peruntukan ini datangnya dari Kerajaan Sarawak dalam usaha mengubah dan membangunkan kawasan utara Sarawak ini.

“Kebanyakan peruntukan projek-projek tersebut dilaksanakan dengan menggunakan peruntukan Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Antara projek yang sedang dan akan dilaksanakan ialah Projek Jambatan Kedua menyeberangi Sungai Limbang bernilai RM150 juta (sedang dilaksanakan), Projek Jalan Ipai – Pendam bernilai RM60 juta, Projek Jalan Ke Kampung Seberang Kedai dari Jalan Bukit Lubok bernilai RM30 juta, Projek Jalan Ke Kuala Ranggau bernilai RM30 juta, Projek Tebingan Sungai Limbang Fasa 1 bernilai RM30 juta (sedang dilaksanakan), Projek Tebingan Sungai Limbang Fasa 2 bernilai RM30 juta dan akan ditender pada bulan Ogos 2019 dan Projek Jejantas dari Limbang Plaza ke Bangunan Tamu Limbang bernilai RM5 juta (sedang dilaksanakan).

“Begitu juga Projek Menaik taraf Jalan Masuk Ke Bandar Limbang daripada 2 lorong kepada 4 lorong sejauh 1.1km bernilai RM20 juta, menaik taraf bangunan SMK Limbang yang lama menjadi Pusat Tingkatan 6 Bahagian Limbang bernilai RM9 juta di bawah peruntukan NRDA, menaik taraf sekolah-sekolah daif di Daerah Limbang bernilai RM70 juta, menaik taraf Bangunan Tamu Limbang bernilai RM1 juta (sedang dilaksanakan) dan menaik taraf Bangunan Pasar Limbang bernilai RM1 juta.

“Turut dibina Anjung Usahawan Limbang bernilai RM5 juta dan Anjung Usahawan di Kampung Pahlawan bernilai RM3 juta, Projek Taman Rekreasi Sukan Lasak di tapak Lapangan Terbang Lama Limbang bernilai RM15 juta peruntukan daripada Jabatan Lanskap Negara, Projek Limbang Town Square bersebelahan Padang MDL, menaik taraf  Kemudahan Rekreasi di Taman Tasik Bukit Mas bernilai RM1 juta, Pelancongan di Kampung Patiambun bernilai RM1 juta, menaik taraf Taman Lumpur Bebuak Kampung Meritam bernilai RM1 juta, RM4 juta diperuntukkan kepada Majlis Daerah Limbang untuk projek pelbagai, menaik taraf Stesen Pertanian Kubong bernilai RM1juta dan ditapak yang sama akan dibina, Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian dan Taman Kekal Pengeluaran Makanan bernilai RM5 juta. Dalam pada itu, Ketua Menteri Sarawak juga telah menambah peruntukan bagi pembangunan di Bahagian Limbang melalui agensi di bawah RECODA iaitu NRDA yang berjumlah RM1.5 billion.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Perasmian Karnival Belia Limbang 2019 anjuran SABERKAS Cawangan Bukit Kota dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Limbang di Lapangan Terbang Lama Limbang, semalam.

Mengenai penganjuran program ini, Dr Hj Abdul Rahman yang juga Pengerusi SEBERKAS Cawangan Bukit Kota mahu golongan belia mempersiapkan diri mereka dengan anjakan teknologi industri 5.0.”Ketua Menteri Sarawak telah merancang pembangunan di seluruh negeri Sarawak untuk menuju ke arah teknologi digital. Justeru, golongan belia perlu mempersiapkan diri mereka dengan anjakan teknologi industri 5.0 yang mana ketika ini kita berada dalam industri 4.0. Dengan penganjuran program seperti ini, golongan belia perlu mengambil kesempatan untuk merebut peluang yang disediakan Kerajaan Sarawak,” tambahnya.

Selain itu, Karnival Belia Limbang 2019 berlangsung selama 3 hari bermula 19 hingga 21 April telah menarik banyak penglibatan belia-belia tempatan termasuk dari negara Brunei. Pelbagai aktiviti juga telah dan akan dijalankan antaranya Pertandingan Battle Of The Band, Pertandingan Autoshow Kereta dan Motosikal, Pertandingan Street Soccer, Pertandingan Dart, Pertandingan Tamiya, Pertandingan Makanan dan Buah, Pertandingan Gusti Lengan, Pertandingan Photographer, Pertandingan Bunyi Burung Murai Batu, Pertandingan Mr Badang Seborneo, Persembahan Artis Jemputan, Pameran dari agensi kerajaan, gerai jualan dan banyak lagi aktiviti-aktiviti yang lain.

Hadir sama pada majlis perasmian ini ialah, Walikota Majlis Daerah Limbang merangkap Timbalan Pengerusi SABERKAS  Cawangan Bukit Kota dan Pengerusi Karnival Belia Limbang 2019 Kr Sufian Mohat, Timbalan Walikota Majlis Daerah Limbang Kr Hj Dahlan Dollah, wakil Residen Bahagian Limbang Aspalela Mohd Sahmoni, Pemanca Leong Boong Ming, Pemanca Jun Silah dan wakil Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Limbang Mohamad Afiq.

Dr Haji Abdul Rahman sempat bersalaman dengan sebahagian tetamu pada Majlis Perasmian Karnival Belia Limbang 2019 di Lapangan Terbang Lama Limbang
 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here