Lebih 3000 Meriahkan Majlis Perarakan dan Rumah Terbuka Gawai 2019 DUN Tanjong Datu

0
148
Sebanyak 17 kontigen dan lebih 3,000 orang peserta mengambil bahagian dalam perarakan yang bermula dari Mini Stadium Lundu dan berakhir di Town Square Lundu pada Majlis Perarakan dan Rumah Terbuka Gawai 2019 DUN Tanjong Datu

LUNDU, 23 Jun 2019 (SNN)- Lebih 3000 orang memeriahkan Majlis Perarakan dan Rumah Terbuka Gawai 2019 DUN Tanjong Datu. Majlis ini dihadiri oleh penduduk dari DUN Tanjong Datu yang terdiri daripada pelbagai  budaya, bangsa dan agama. Keadaan ini yang biasa dilihat di Sarawak menjadikan negeri ini suatu yang istimewa di Malaysia. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu YB Datuk Amar Jamilah Anu berkata walaupun banyak kaum dan suku kaum di Sarawak, tetapi perpaduan yang utuh dan padu menjadikan masyarakatnya hidup harmoni seperti yang ditunjukkan hari ini.

“Kita bersyukur kerana Sarawak memiliki keunikan dalam kepelbagaian budaya, bangsa mahupun agama. Terdapat kira-kira 22 suku kaum di Sarawak tetapi kita dapat hidup dengan harmoni dan bersatu padu sebagai sebuah keluarga.  Bak kata Allahyarham Tok Nan, kita minum sama-sama, makan sama-sama dan cari amoi sama-sama,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Perarakan dan Rumah Terbuka Gawai 2019 yang diadakan di Town Square Lundu, malam tadi. Sebanyak 17 kontigen dan lebih 3,000 orang peserta mengambil bahagian dalam perarakan yang bermula dari Mini Stadium Lundu dan berakhir di Town Square Lundu. 

Majlis ini dihadiri oleh penduduk dari DUN Tanjong Datu yang terdiri daripada pelbagai  budaya, bangsa dan agama yang hadir dengan mengenakan pakaian tradisional masing-masing

Tambah Jamilah lagi, beliau melahirkan rasa gembira di atas inisiatif dalam menganjurkan program seperti ini yang bukan sahaja menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum di Lundu, tetapi juga menunjukkan kepada masyarakat luar bahawa kita di Sarawak sangat mementingkan perpaduan yang menjadi tunjang kepada kestabilan politik dan ekonomi di negeri ini.

“Tahniah atas kejayaan dalam penganjuran perarakan ini yang mencatat sejarah julung kalinya diadakan dengan penyertaan yang begitu ramai peserta. Harapan saya agar program seperti ini akan dapat kita teruskan dengan penyertaan daripada pelbagai pihak pada masa-masa akan datang,” tambahnya.

Beliau turut berpesan agar kita di kawasan Tanjong Datu ini dapat mengekalkan perpaduan yang sedia ada demi kemakmuran bersama.

“Bersamalah kita membangunkan Lundu agar menjadi sebuah daerah yang terkenal dengan keharmonian dan kemakmuran dengan perpaduan yang kuat antara satu sama lain.  Jangan biar orang luar memecahbelahkan kita. Kita harus sayangkan Lundu dan Sarawak keseluruhan,” ujarnya. 

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar YB Datuk Ranum anak Mina, Pegawai Daerah Lundu Gustian Durani, Setiausaha Majlis Daerah Lundu Norashikin Brahim dan Ketua-ketua Masyarakat. ( Sumber : UKAS )

Jamilah Anu bersama tetamu kenamaan yang lain termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Ranum anak Mina.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here