Kronologi Kejadian Pencemaran Sisa Bahan Kimia di Pasir Gudang, Johor

0
1676
Pemandangan udara pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor

Johor, 13 Mac 2019 (SNN) – Berikut merupakan kronologi kejadian pencemaran sisa bahan kimia yang berlaku di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor.

7 Mac 2019 Khamis  

( i ) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih mengesan persekitaran udara di sekolah berbau bahan kimia dan telah memaklumkan perkara itu kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Pejabat Kesihatan Daerah Pasir Gudang.

(ii) Kira-kira jam 10.00 pagi , terdapat pelajar yang mengalami simptom pening kepala, seterusnya muntah dan mual. Lapan ambulan telah dikejarkan ke dua sekolah berkenaan untuk membantu 24 pelajar dan masing-masing seorang guru dan pekerja kantin yang pengsan dipercayai telah terhidu gas beracun.

(iii) Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya dan pihak Bomba mengesahkan kemungkinan berlaku kebocoran gas di kawasan sekolah kerana lokasi sekolah berhampiran kawasan industri dan arahan pengosongan premis telah dikeluarkan serta merta. Kedua-dua sekolah itu ditutup selama tiga hari sehingga hari  Sabtu dan 35 orang dirawat di hospital, di mana tiga daripadanya di Unit Rawatan Rapi.

8 Mac 2019 Jumaat

( i ) Jumlah mangsa yang dirawat telah meningkat kepada 39 orang.

9 Mac 2019 Sabtu

( i ) Jumlah mangsa yang mendapatkan rawatan terus meningkat menjadikan jumlah 79 orang.

10 Mac 2019 Ahad

( i ) Guru-guru SMK Pasir Putih dan SK Pasir Putih bergotong-royong melakukan kerja pembersihan sekolah susulan kejadian pencemaran udara dipercayai akibat pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim.

( ii ) Jumlah mangsa terus meningkat kepada 82 orang.

( iii ) Jabatan Alam Sekitar (JAS) menggerakkan asetnya di seluruh negara termasuk penggunaan alat pengesan gas selain pembabitan 100 pegawainya ke kawasan terjejas pencemaran sisa gas kimia berbahaya di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor

11 Mac 2019 Isnin

( i ) Tiga lelaki termasuk dua pemilik kilang ditahan kerana disyaki membuang sisa bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim.

( ii ) Sekolah yang terlibat dibuka seperti biasa dan proses pembelajaran berjalan dengan baik.

( iii ) Kira-kira jam 11.30 pagi ,pihak pengurusan kedua-dua sekolah melaporkan kes murid mual pening kepala berlaku lagi. Pihak sekolah mengarahkan sekolah dikosongkan kerana berlaku keadaan udara tidak sihat dan murid-murid kemudiannya dibenarkan pulang.

( iv ) Kira-kira jam 11.00 malam, seramai 29 orang telah  dihantar ke Klinik Kesihatan untuk pemeriksaan lanjut manakala 77 lagi dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.

( v ) Berdasarkan nasihat daripada Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Daerah (JPBBD), JPN Johor memutuskan kedua-dua sekolah berkenaan ditutup sehingga dimaklumkan kelak.

( vi ) Secara keseluruhan jumlah mangsa yang mendapat rawatan ialah 260 orang.

12 Mac 2019 Selasa

( i ) Dua lagi sekolah iaitu SK Tanjung Puteri Resort dan SMK Tanjung Puteri dalam daerah Pasir Gudang ditutup berikutan 50 pelajar SMK Tanjung Puteri dan lima murid SK Tanjung Puteri Resort mempunyai simptom yang sama.

( ii ) Sebanyak 13 sekolah berhampiran Sungai Kim Kim di sekitar Pasir Gudang telah diarah tutup sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan.

( iii ) Jumlah yang menerima rawatan meningkat kepada 306 orang.

( iv ) Menteri Pendidikan YB Dr Maszlee Malik memberitahu insiden pencemaran itu turut menyebabkan seramai 266 pelajar, murid serta kakitangan dari sekolah empat sekolah menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) manakala 42 orang lagi dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) setelah mengalami sesak nafas, loya dan muntah. Lima daripada mereka kini ditempatkan di Zon Merah (kritikal), 19 orang di Zon Kuning (separa kritikal) dan 18 lagi di Zon Hijau (tidak kritikal). Berikutan insiden itu, Maszlee menggesa supaya pihak yang bertanggungjawab membuang sisa kimia itu dihadapkan segera ke muka pengadilan.

( v ) Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Johor menubuhkan sebuah jawatankuasa kerja bagi mengawal kerja-kerja pembersihan di kawasan terjejas. Mesyuarat itu juga bersetuju untuk melantik kontraktor yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan di kawasan seluas 1.5 kilometer di Sungai Kim Kim.

( vi ) Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar  telah bertitah meluahkan kemurkaan dan kekesalan baginda berhubung insiden pencemaran yang berlaku. Baginda menggesa semua pihak berkuasa untuk segera menangkap dan menghukum pelakunya. Dalam masa yang sama baginda menasihati penduduk di sekitar kawasan kejadian itu supaya sentiasa berhati-hati dan segera mendapatkan rawatan jika berasa kurang sihat. 

( vii ) Kumpulan pencinta alam sekitar, Sahabat Alam Malaysia (SAM) pula meminta pihak berkuasa mendedahkan hasil siasatan dan tindakan yang diambil terhadap pelaku pencemaran tersebut.

13 Mac 2019 Rabu

( i ) Sebanyak 36 buah sekolah di sekitar Pasir Gudang diarahkan tutup serta merta hari ini sehingga ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

( ii ) Ini termasuk 13 sekolah yang telah diarahkan tutup semalam

( iii ) Kerajaan Negeri Johor melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri telah mengaktifkan jawatankuasa kerja bagi menangani kejadian pembuangan sisa tersebut yang bertujuan menyelaras dan memantau kejadian tumpahan bahan kimia yang berlaku.

( iv ) Mesyuarat Pengaktifan Jawatankuasa Kerja memutuskan bersetuju melantik kontraktor yang dilesenkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan di Sungai Kim Kim sepanjang 1.5 km yang akan di selaraskan Jabatan Pengairan dan Saliran serta JAS Johor sebagai lanjutan daripada kerja-kerja pembersihan yang telah dilakukan pada 7 dan 8 Mac lepas.

( v ) Kementerian Kesihatan memaklumkan sebanyak 506 kes baharu ekoran pencemaran toksik di Sungai Kim Kim di sini direkodkan setakat jam 7 malam.

( vi ) Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, daripada jumlah itu, seramai 166 mangsa telah dimasukkan ke dalam wad, manakala sembilan daripada mereka telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Beberapa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Pasir Putih, Pasir Gudang diberi rawatan kecemasan : Foto BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here