Kerajaan Sarawak Mempunyai Dana RM31 bilion Untuk Pembangunan Sarawak

0
266
Dr Hazland bergambar kenangan bersama penduduk Kampung Muara Tebas pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri DUN Demak Laut, Sabtu lepas

KUCHING, 25 Jun 2019 (SNN)– Kerajaan Sarawak mempunyai dana RM31 bilion untuk pembangunan Sarawak. Justeru rakyat Sarawak harus berterima kasih kepada kepimpinan negeri yang terdahulu kerana berjaya menyimpan dana kerajaan sebanyak RM31 bilion tersebut.

Ini berlaku sebelum mereka menandatangani Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan merasakan ‘sesuatu’ akan berlaku. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata tindakan pemimpin terdahulu memperlihatkan apa yang akan berlaku pada masa akan datang atau hari ini.

“Mereka menjangkakan akan berlaku ‘sesuatu’ di sepanjang bersama Malaysia dan sehingga mereka mengambil keputusan menyimpan dana bagi negeri ini. Sehingga kini nilai tersebut berjumlah RM31 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri DUN Demak Laut di Kampung Muara Tebas, Sabtu lepas. Jelas, apa yang difikirkan kepimpinan terdahulu benar-benar berlaku selepas Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14).

“Pemikiran ini terbukti kebenarannya apabila Kerajaan Persekutuan telah bertukar tangan dan Kerajaan Sarawak mengambil keputusan berdiri sendiri. Bagaimanakah Kerajaan Sarawak akan berdikari memandangkan tiada lagi kebergantungan dengan kerajaan baharu? Inilah yang dialami Kerajaan Sarawak ketika ini.

“Ternyata tindakan pemimpin-pemimpin terdahulu bijak dalam menyimpan dana kerajaan yang kini berjumlah RM31 bilion,” tambahnya.

Pada majlis itu Dr Hazland turut menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf yang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya, anak yatim dan mereka yang menghidap penyakit kronik.

Dr Hazland berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri DUN Demak Laut di Kampung Muara Tebas
Dr Hazland turut sama membantu menghidangkan lauk kepada tetamu yang hadir

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here