Kerajaan Sarawak Komited Selesaikan Isu Tanah di Sarawak

0
30
Kerajaan Sarawak memperkenalkan Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu yang telah berjaya mempertingkatkan keluasan tanah yang diukur dan diwartakan berbanding kaedah lama ( Gambar hiasan )

KUCHING, 08 Mei 2019 (SNN)- Kerajaan Sarawak komited untuk menyelesaikan isu-isu tanah di Sarawak. Ini termasuk mengiktiraf dan mempertahankan hak rakyat ke atas tanah mereka menerusi pengukuran tanah NCR yang telah dimulakan sejak tahun 1960an lagi. Dahulu, pengukuran tanah NCR melalui program-program seperti Operasi Penyelesaian, Pengukuran Bahagian III KTN dan Pengukuran Kampung Tradisional, dan kini memperkenalkan Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak YB Datuk Amar Hj Awang Tengah Ali Hasan berkata tindakan Kerajaan Sarawak memperkenalkan Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu telah berjaya mempertingkatkan keluasan yang diukur dan diwartakan berbanding kaedah lama. “Kaedah dahulu ini bagaimanapun didapati kurang efisien kerana dalam tempoh lebih kurang 50 tahun sejak tahun 1960-an sehingga tahun 2010, hanya seluas lebih kurang 260,000 hektar (642,460 ekar) tanah NCR berjaya diselesaikan”.

“Melalui pencapaian kerja ukur sehingga 30 April 2019, seluas 880,541 hektar (2,175,817 ekar) telah berjaya diukur perimeternya melalui peringkat pertama, di mana seluas 723,344 hektar (1,787,383 ekar) telah pun diwartakan.Ini bermakna, dalam tempoh 8 tahun kita telah berjaya mengukur tiga kali ganda keluasan berbanding kaedah terdahulu,” katanya. Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke 18 di sini, hari ini.

Kaedah Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu ini dilaksanakan secara dua peringkat iaitu pertama, pengukuran perimeter dan pewartaan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) dan kedua, pengukuran secara lot individu dan pengeluaran surat hak milik di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri dilaksanakan.

Menurut Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua, peringkat kedua program ini menyaksikan kawasan di bawah Seksyen 6 tersebut akan diukur secara lot individu bagi tujuan pengeluaran surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.”Setakat ini, sebanyak 26,036 lot individu telah berjaya diukur yang melibatkan kawasan seluas 32,376 (80,001 ekar) yang telah dan akan dikeluarkan surat hak milik Seksyen 18 kanun Tanah Negeri”.

“Pada tahun ini, Kerajaan Sarawak juga akan memberi fokus kepada pengukuran lot-lot individu bagi kawasan-kawasan yang telah diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri berdasarkan permohonan dan kesediaan penuntut-penuntut tanah tersebut,” tambahnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan (PH) di dalam bajet 2019 tidak memperuntukkan secara spesifik dana untuk pengukuran tanah NCR di Sarawak berbanding Kerajaan Persekutuan terdahulu.”Kerajaan Persekutuan terdahulu amat prihatin terhadap perihal tanah di Sarawak walaupun mereka tahu tanah adalah di bawah bidang kuasa negeri. Ini dibuktikan dengan komitmen mereka dalam memberi peruntukan sejumlah RM161 juta”.

“Atas keprihatinan dalam memelihara hak-hak pemilik tanah, peruntukan berjumlah RM40 juta telah diluluskan Kerajaan Sarawak bagi meneruskan Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu ini. Mungkin Kerajaan Persekutuan merasa tertekan, maka Kerajaan Persekutuan sekarang telah mengumumkan peruntukan sejumlah RM21.5 juta. Itu pun, setakat ini hanya sejumlah RM10.75 juta sahaja yang disalurkan mereka,” jelasnya.

Dalam pada itu, Kerajaan Sarawak telah meluluskan pengambilan seramai 467 pegawai pelbagai kategori bagi menambah kapasiti sedia ada di Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak dengan melibatkan tambahan perbelanjaan dianggarkan sebanyak RM30 juta setahun.

“Bagi memastikan kelangsungan program ini, saya menyeru semua Ahli Yang Berhormat dan pihak yang menuntut tanah NCR agar memberikan kerjasama sepenuhnya kepada JTS supaya kerja-kerja pengukuran ini dapat berjalan dengan lancar khususnya melibatkan lot-lot individu,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, menurut Awang Tengah, Kerajaan Sarawak akan membayar balik bayaran premium tanah kepada 7,174 pemilik-pemilik lot kediaman di semua Skim Penempatan Semula (SPS) dan Skim Pembesaran Kampung (SPK) kecuali SPS Demak Fasa 3, 4 dan 6. Beliau berkata pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak lepas, Kerajaan Sarawak telah menetapkan premium bagi lot kediaman di semua SPS dan SPK adalah tidak melebih RM2,500 se-lot.

“Sehubungan itu, bayaran premium tanah yang telah dibuat melebihi RM2,500 diputuskan untuk dibayar balik di mana tempoh permohonan sehingga 31 Oktober 2019. Pembayaran balik ini akan dinikmati seramai 7,174 orang pemilik tanah dengan kos sejumlah RM43.4 juta. Setakat 31 Mac 2019, seramai 4,537 pemilik telah dibayar balik dengan nilai RM28.97 juta. Bagaimanapun, pembayaran balik ini tidak akan dibuat ke atas lot-lot yang terlibat dengan jual beli atau spekulasi”, katanya.

Beliau menambah, Kerajaan Sarawak turut memperkenalkan dasar baharu iaitu penambahbaikan terhadap spesifikasi dan komponen intrastruktur asas di skim-skim baharu yang akan dilaksanakan.”Sebanyak 22 skim terlibat dalam penambahbaikan infrastruktur asas seperti jaringan jalan raya di dalam SPS dan SPK yang dahulunya hanya jalan batu (gravel road) kini dinaik taraf kepada jalan berturap (tar-sealed road).

“Turut ditambahbaik ialah lot-lot yang dahulunya diagihkan tanpa ditimbus (unfilled) akan ditimbus (filled) dan sistem perparitan di dalam skim yang dahulunya hanya parit tanah (earth drain) telah ditambahbaik dengan parit konkrit (concrete drain),” tambahnya. 

Awang Tengah semasa menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke 18 (Foto-Ukas)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here