Kerajaan Sarawak Akan Bina 2,500 Unit Rumah Bawah RSP Untuk Golongan B40 Dan M40

0
1366
Sebanyak 564 unit rumah dibina di Darul Hana, Kuching di bawah projek kerjasama HDC dan PELITA

KUCHING, 08 Mei 2019 (SNN)- Kerajaan Sarawak akan membina 2,500 unit rumah di bawah program Rumah Spektra Permata (RSP) di seluruh negeri bagi membantu kumpulan berpendapatan rendah (B40) dan kumpulan berpendapatan sederhana (M40) memiliki rumah sendiri.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan YB Datuk Dr Sim Kui Hian juga berkata kementeriannya menerusi Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) telah memperuntukkan sebanyak RM108.55 juta untuk melaksanakan 493 unit RSP di Kuching, Mukah, Kapit dan Limbang.”Kementerian saya merancang akan menyerahkan unit-unit rumah berkenaan kepada pembeli dalam tempoh dua tahun akan datang”.

“Sementara itu, kementerian saya juga telah menjalin kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli (MUDeNR) dalam menyediakan perumahan di bawah program pembangunan bandar. Di bawah program ini, MUDeNR menerusi Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (PELITA) akan membina infrastruktur dan kerja berkaitan manakala HDC akan membina unit rumah,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementerian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke 18, semalam. Mengulas mengenai kerjasama HDC dan PELITA, Datuk Dr Sim berkata di bawah program tersebut beberapa unit rumah telah disiap dibina di Sibu dan Kuching.

“Sebanyak 30 unit rumah di Kampung Datu, Sibu telah siap dibina manakala 564 unit rumah lagi di Darul Hana, Kuching. Manakala, tiga unit rumah di Kampung Datu dan 86 unit rumah di Kemuyang masing-masing di Sibu ketika ini sedang dalam peringkat pembinaan,” tambahnya.

Mengenai projek perumahan di bawah dana Kerajaan Persekutuan, beliau berkata dua projek telah diluluskan pada 2017 iaitu Program Perumahan Rakyat (RPR) Landeh, Padawan dan RPR Petra Jaya yang dijadualkan siap pada awal tahun 2020. Dua projek telah diluluskan pada 2017 iaitu 443 unit pangsapuri di Program Perumahan Rakyat (RPR) Landeh dan 208 unit rumah teres setingkat di Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) yang dijadualkan siap awal 2020”.

“Perumahan adalah di bawah bidang Senarai Bersama Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, kementerian saya akan terus mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Persekutuan untuk membina lebih banyak rumah mampu milik untuk kumpulan B40 di Sarawak,” katanya.

Sementara itu, berkenaan dengan pinjaman rumah panjang Dr Sim berkata kementeriannya tidak akan mengenakan faedah ke atas pinjaman dibuat bagi membeli bahan-bahan binaan dalam usaha membantu penghuni membina baharu atau membaik pulih rumah panjang sedia ada. Pinjaman maksimum bagi setiap pintu ialah RM50,000 dan jumlah pemohon yang layak menerima pinjaman ini bergantung kepada jumlah peruntukan tahunan disediakan Kerajaan Persekutuan.

“Bagi 2019, kementerian saya telah memohon RM50 juta bagi tujuan ini, tetapi malangnya hanya RM10 juta diluluskan. Kementerian saya akan terus memohon lebih banyak dana daripada kerajaan persekutuan bagi tujuan ini,” katanya.

Dr Sim Kui Hian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke 18 (Foto- Ukas)
 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here