Kenali dan Hormati Bendera Malaysia

0
742
Bendera Malaysia

Kuching, 07/12/2019 (SNN) : Bendera merupakan lambang kepimpinan, simbol penghormatan, martabat dan kedaulatan bagi sesebuah negara. Setiap negara mempunyai bendera yang tersendiri untuk mewujudkan perasaan bangga terhadap tanah air. Bendera ditakrifkan sebagai sebidang kain yang diperagakan bagi menunjukkan tanda dan lambang kewujudan yang juga dikenali sebagai panji dan obor. Bendera dalam budaya Melayu biasanya dikaitkan dengan kedudukan golongan Diraja yang memerintah.

Pada bendera Malaysia terdapat 14 jalur merah dan putih melintang yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah. Jalur-jalur ini menandakan keanggotaan 13 buah negeri dan sebuah kerajaan Persekutuan iaitu Kedah, Pahang, Kelantan, Johor, Perak, Perlis, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Sarawak, Pulau Pinang, Sabah, Melaka dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

Warna merah pada jalur membawa makna gagah berani dan warna putih pula membawa makna suci murni. Warna kuning yang digunakan pada bulan dan bintang adalah warna Diraja yang melambangkan Raja-Raja Melayu. Gabungan tiga warna utama iaitu merah, putih dan biru melambangkan setia kawan Persekutuan Tanah Melayu dan United Kingdom dan penyatuan Tanah Melayu dengan Negara-negara Komanwel.

Sejarah Bendera Malaysia

Pada 29 November 1949, Majlis Raja-Raja dengan kerjasama Majlis Perundangan Persekutuan telah mengadakan pertandingan peringkat kebangsaan untuk memilih reka bentuk bendera bagi kerajaan yang bakal dibentuk. Dalam pertandingan mereka cipta bendera peringkat kebangsaan pada Mei 1948 tersebut, seramai 373 karyawan telah mengambil bahagian dan telah melalui proses pemilihan serta pertimbangan.

Pada 15 November 1949 hanya tiga reka bentuk yang berjaya dipilih ke peringkat akhir dan ciptaan Encik Mohamed bin Hamzah (arkitek Jabatan Kerja Raya Negeri Johor) telah dipilih sebagai pemenang. Walau bagaimanapun reka bentuk bendera tersebut telah dibuat beberapa pindaan iaitu bulan sabit dan bintang yang pada asalnya berwarna putih digantikan dengan warna kuning bagi melambangkan warna Diraja dan telah diperkenankan oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950.

Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara. Reka bentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan King George VI pada 19 Mei 1950. Sehubungan dengan itu, buat pertama kalinya Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan pegawai-pegawai King George VI pada 26 Mei 1950. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan dan berkibar secara rasmi pada 31 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor seiring dengan berkumandangnya lagu Negaraku yang buat kali pertama diperdengarkan kepada umum.

Bendera Persekutuan Tanah Melayu yang sebelum ini berjumlah 11 jalur melintang berwarna merah dan putih telah bertambah jalurnya kepada 14 jalur sebaik sahaja kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura dalam Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963. Bendera ini dikenali sebagai bendera Malaysia.

Penambahan jalur ini adalah bagi mewakili tiga negeri tersebut. Walaupun Singapura dikeluarkan dari Malaysia pada Ogos 1965, jumlah jalur pada bendera Malaysia masih kekal termasuk ciri-ciri yang ada padanya. Setelah berkibar megah sejak tahun 1950, pada malam 31 Ogos 1997 sempena sambutan 40 tahun kemerdekaan negara, Tun Dr. Mahathir Mohammad yang merupakan Perdana Menteri Malaysia ketika itu telah mengukir sejarah dengan mengumumkan nama baharu bagi bendera Malaysia iaitu sebagai Jalur Gemilang.

Tafsiran dan Makna Bendera Malaysia

Setiap lambang dan warna yang terdapat pada Bendera Malaysia mewakili maksud-maksud tertentu.

  • Bahagian yang berwarna biru tua di sebelah kiri melambangkan perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, bersatu padu dan berusaha dalam memajukan pembangunan ekonomi berasaskan sains serta teknologi moden.
  • Warna kuning pada lambang anak bulan dan bintang pecah 14 bermaksud kedaulatan Raja Berperlembagaan serta mendokong dan menghormati lunas-lunas perlembagaan dan falsafah Rukun Negara.
  • Lambang anak bulan membawa maksud Islam sebagai agama rasmi negara sementara bintang pecah 14 menunjukkan perpaduan 13 buah negeri dan kerajaan Persekutuan.
  • Merah melambangkan keberanian dan bersedia dalam menghadapi segala rintangan dan cabaran dalam usaha meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara maju.
  • Warna putih pula melambangkan kesucian, keikhlasan dan kesungguhan bagi mempertingkatkan ketahanan rakyat yang beradab dan berkeperibadian Malaysia.

Tanggungjawab Kita Terhadap Bendera

Berikut antara tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh rakyat sesebuah negara terhadap Bendera Kebangsaan masing-masing:

( i ) Mempertahankannya dari dijatuhkan atau dihina.

Sejarah peperangan dalam Islam jelas menunjukkan Rasulullah SAW mengurniakan bendera kepada panglima atau ketua pasukan. Mereka menganggap amanah yang cukup besar yang wajib dipertahankan dan tidak boleh dijatuhkan sementelahan lagi dari pihak musuh atau dihina. Peperangan Mu’tah menunjukkan bagaimana Ja’far bin Abi Talib R.A menjaga dan mempertahankan bendera sekalipun kedua-dua belah tangannya ditetak, tetapi tetap mempertahankan bendera dengan tunggul tangan yang berbaki.

Syeikh Sofiyurrahman al-Mubarakfuri menyebut: Setelah Zaid bin Harithah menemui syahid, panji Islam terus diambil oleh Jaafar bin Abi Talib. Beliau juga tidak kurang hebatnya dari Zaid bin Harithah, hingga apabila beliau terasa berat berperang dengan kuda, beliau melompat dari kudanya yang berwarna perang itu lantas disembelihnya. Kini beliau bertempur di bawah, hingga apabila tangan kanannya terputus maka panji Islam itu dipegang dengan tangan kirinya, dan setelah tangan kirinya terpotong pula, lalu diapit bendera itu dengan dua belah lengannya.

Dengan keadaan begini beliau terus menjulang bendera Islam hinggalah beliau gugur syahid. Ada pula pendapat mengatakan yang beliau telah ditetak oleh seorang tentera Rom sehingga terputus dua, dan kemudian Allah menggantikannya dengan dua sayap yang membolehkan beliau terbang di dalam syurga Allah, ke mana sahaja yang dia mahu. Kerana itu beliau dikenali sebagai Ja’far al-Tayyar dan Jaafar Zu al-Janahain (yang mempunyai dua sayap).

Al-Bukhari meriwayatkan dari Nafi’ bahawa Ibn Umar R.Anhuma telah menceritakan kepadanya semasa beliau mendapati Jaafar telah syahid, pada tubuhnya terdapat kesan-kesan pukulan dan tikaman sebanyak lima puluh liang, tidak ada satu pun di sebelah belakangnya.

Di dalam satu riwayat yang lain kata Ibnu Umar: Aku bersama mereka di dalam peperangan berkenaan. Kami mencari Jaafar dan kami dapati beliau di antara yang terbunuh syahid. Kami melihat pada jasadnya lebih sembilan puluh liang tikaman dan tetakan yang telah disebut dalam riwayat al-Umri dari Nafi’. Dan kami telah mendapati kesemuanya itu dari sebelah hadapan jasadnya.

Ketika Jaafar gugur syahid selepas pertarungan yang sengit itu maka bendera Islam lantas disambar oleh Abdullah bin Rawahah. Kemudian beliau pun terus memecut kudanya mara ke hadapan. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 275-276)

( ii ) Jangan memijak bendera.

Ini kerana memijak bendera sendiri seolah-olah tidak menghormati negara kita sendiri. Terdapat kisah perhimpunan pemimpin-pemimpin dunia. Sebagai petanda setiap pemimpin dari sudut susunan kedudukan yang ditetapkan, maka dilihat di bawah kakinya bendera masing-masing. Tiba-tiba Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan telah mengambil bendera negaranya Turki dan menyimpan dalam sakunya. Peristiwa ini memaknakan betapa sensitifnya seseorang yang memahami tentang bendera masing-masing.

( iii ) Memacakkan bendera pada tempat yang tinggi.

Pembukaan kota Konstantinopel oleh Sultan Muhammad al-Fateh pada tahun 1485 Masihi bersamaan 857 Hijrah berjaya selepas hampir 54 hari dikepung. Akhirnya panglima tentera Turki, Hasan Ulubatli telah memacak bendera di tembok tertinggi kerajaan Konstantinopel sekaligus memarakkan lagi semangat tentera Uthmaniyah dalam mentahqiqkan hadis Nabi SAW yang berbunyi:

لَتُفْتَحَنَّ الْقُسْطَنْطِينِيَّةُ ، فَلَنِعْمَ الْأَمِيرُ أَمِيرُهَا ، وَلَنِعْمَ الْجَيْشُ ذَلِكَ الْجَيْشُ

Maksudnya“Sesungguhnya Konstantinopel akan dibukakan. Sebaik-baik pemerintah ialah pemerintah yang membukanya dan sebaik-baik tentera ialah tentera pemerintah itu.”

Riwayat Ahmad (18957) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (8300)

( iv ) Jangan sekali-kali memasang bendera secara terbalik.

Ini akan memberi banyak maksud serta persepsi yang tidak baik sama ada ketidakcaknaan dan keprihatinan kedudukan bendera itu sendiri.

( v ) Menggantikan bendera yang lusuh dengan yang baru.

Ini kerana ia merupakan lambang sesebuah negara yang perlu dihormati. Makanya bendera yang lusuh, carik, rosak dan koyak akan menunjukkan rakyat yang kurang prihatin terhadap lambang negara iaitu bendera yang sebenarnya bukti kasih dan cinta kita kepada negara.

Sumber: Jabatan Penerangan Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here