UNIMAS Rasmi Dewan Peperiksaan Baharu- Dewan Wakaf Yusuf Marais

0
274
Dewan Wakaf Yusuf Marais telah dirasmikan pada 5 Disember 2019 oleh Tuan Haji Ahmadi Yusuff.

Kota Samarahan, 6 Disember 2019 (SNN): Bangunan Dewan Wakaf Yusuf Marais dirasmikan semalam menerusi sebuah majlis perasmian di UNIMAS pada pagi semalam. Bangunan wakaf ini merupakan Dewan Peperiksaan Berpusat UNIMAS yang terdiri daripada empat (4) dewan kecil dengan setiap satu boleh memuatkan sebanyak 180 meja dan kerusi peperiksaan. Kapasiti keseluruhan dewan ini dapat menampung sebanyak 720 orang.

Projek wakaf pembinaan Dewan Yusuf Marais ini direalisasikan oleh OBYU Holdings Sdn Bhd dengan saluran sumbangan derma wakaf berjumlah RM5 Juta. Selain keperluan untuk menyediakan ruang-ruang yang lebih kondusif dan menampung ruang sedia ada untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta urusan peperiksaan, dewan ini juga dibuka untuk kegunaan rasmi orang ramai bagi meluaskan lagi manfaat pembinaannya menerusi khidmat sewaan. Hasil sewaan tersebut akan dimasukkan ke Tabung Endowmen UNIMAS bagi membantu pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan. Tabung Endowmen ini diuruskan oleh Bahagian Endowmen dan Wakaf UNIMAS.

Dalam ucapan Naib Canselor UNIMAS, Yang Berbahagia Prof Datuk Dr Mohamad Kadim berkata projek wakaf selain daripada dewan peperiksaan ini, beberapa projek pembangunan wakaf khas lain sedang dalam proses pembinaan. Projek tersebut termasuklah pembinaan Masjid Kampus Timur bernilai RM2 Juta dan mampu memuatkan 1,500 jemaah telah siap dibina pada September lepas dan bangunan Pusat Pembangunan Dan Khidmat Teknologi Maklumat yang bernilai RM12 Juta dan dijangka akan siap pada tahun hadapan.

Selain itu beliau berkata UNIMAS berasa amat bertuah dan berbesar hati dengan sumbangan RM5 Juta daripada Pengasas dan Penasihat OBYU Holdings Sdn Bhd, Yang Berbahagia Tan Sri Haji Bustari Haji Yusuf. Sumbangan yang telah diberikan ini pastinya memberi manfaat yang amat besar buat warga universiti terutamanya untuk kemajuan pendidikan anak bangsa Malaysia.

(Dari Kiri) Prof Dr Wan Hashim Wan Ibrahim,  Prof Datuk Dr Mohamad Kadim bin Suaidi,  Tuan Haji Ahmadi Yusuff,  Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie,  Encik Henry Tening Sengeng,  Tuan Haji Abang Noordin Datuk Haji Abang Zainuddin dan  Encik Edrus Busrah melawat Dewan Peperiksaan Berpusat UNIMAS. 
Perasmian Dewan Wakaf Yusuf Marais.. (Dari Kiri) Prof Dr Wan Hashim Wan Ibrahim, Encik Edrus Busrah, Ustaz Muamar Gadaffi bin Abdul Hadi, Tuan Haji Abang Noordin Datuk Haji Abang Zainuddin, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie, Tuan Haji Ahmadi Yusuff, Prof Datuk Dr Mohamad Kadim bin Suaidi, Encik Henry Tening Sengeng

Selain tabung wakaf untuk pembangunan projek-projek khas yang dinyatakan tadi, UNIMAS turut menubuhkan Tabung Endowmen Biasiswa B40 untuk membantu pelajar-pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan. Aspek bantuan yang diberikan ialah dari segi pembayaran yuran dan sara hidup pelajar yang memerlukan.

Pada masa yang sama simbolik penyampaian sumbangan daripada Tabung Endowmen UNIMAS berjumlah RM247,950.00 turut disampaikan kepada wakil pelajar B40 iaitu Saudara Leonard Louis anak Ganai yang mewakili 419 orang pelajar prasiswazah dan pra universiti UNIMAS yang telah menerima bantuan daripada tabung ini.

Datuk Kadim turut menyatakan UNIMAS bersama Tabung Baitulmal Sarawak serta penyumbang di kalangan korporat dan orang awam setakat ini telah mengagihkan RM3,090,112.00 kepada pelajar seramai 1,876 dalam tempoh September 2018 sehingga Jun tahun ini bagi meringankan beban kewangan.

Selain daripada  Yang Berbahagia Tuan Haji Ahmadi Yusuff iaitu Pengerusi OBYU Holdings Sdn Bhd selaku perasmi dan juga mewakili  Yang Berbahagia Tan Sri Haji Bustari Yusuf, Pengasas dan Penasihat OBYU Holdings Sdn Bhd, yang turut hadir ke majlis perasmian ini ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie, Penasihat Korporat OBYU Holdings Sdn Bhd Yang Berbahagia Tuan Haji Abang Noordin Datuk Hj Abang Zainuddin, Pengurus besar OBYU Holdings Sdn Bhd Yang Berusaha Encik Edrus Busrah, Pegawai Eksekutif Tabung Baitumal Sarawak Ustaz Muamar Gadaffi b Abdul Hadi, pengurusan tertinggi UNIMAS, pegawai-pegawai UNIMAS, wakil– wakil pelajar B40 dan rakan-rakan media.

Tuan Haji Ahmadi Yusuff (empat dari kiri) menyampaikan replika cek sumbangan kepada Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie (tiga dari kanan).
Prof Datuk Dr Mohamad Kadim bin Suaidi menyampaikan replika cek sumbangan daripada Tabung Endowmen UNIMAS kepada Leonard Louis Anak Ganai selaku wakil pelajar B40 UNIMAS. 
 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here