Kampung Tanjong Bako Terima Peruntukan RM370,000 Untuk Projek RTP 2019 Dan 2020

0
164
Dr Hazland semasa berucap di Majlis Pelancaran Gabungan Parti Sarawak (GPS), Taklimat Isu-Isu Semasa dan Sambutan 722 Hari Sarawak 2019

KUCHING, 24 Julai 2019 (SNN)- Sebanyak RM370,000 telah diperuntukkan bagi menyediakan pembangunan di Kampung Tanjong Bako.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Yang Berhormat Dr Haji Hazland Abang Haji Hipni, jumlah ini merangkumi pembinaan padang sepak takraw, bina parit bertutup Dewan Kampung Tanjong Bako dan membina rumah komuniti.

“Sebanyak RM370,000 telahpun diluluskan dalam Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Demak Laut bagi tahun 2019 dan 2020 untuk Kampung Tanjong Bako.

“Suka saya umumkan bahawa permohonan bagi membina padang sepak takraw bernilai RM100,000 dan bina parit bertutup Dewan Kampung Tanjong Bako berjumlah RM170,000 telah diluluskan dalam RTP DUN Demak Laut untuk tahun 2019.

“Manakala, sebanyak RM100,000 telah diluluskan dalam RTP 2020 DUN Demak Laut bagi membina rumah komuniti di Kampung Tanjong Bako,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Pelancaran Gabungan Parti Sarawak (GPS), Taklimat Isu-Isu Semasa dan Sambutan 722 Hari Sarawak 2019 di Dewan Kampung Tanjong Bako, Ahad lepas.

Dr Hazland sewaktu menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf Kampung Tanjong Bako

Dr Hazland turut meminta penduduk dan rakyat Sarawak untuk terus menanam semangat cintakan Ibu Pertiwi dalam usaha mempertahan dan mendapatkan hak-hak Sarawak selama ini.

“Bersempena Hari Sarawak 2019, marilah kita sama-sama berganding bahu dan bersama dalam mempertahan dan mendapatkan hak-hak Sarawak dengan memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Kerajaan Sarawak pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg.

“Marilah kita hargai jasa dan pengorbanan pejuang dan pemimpin terdahulu yang sanggup menggadai nyawa demi mempertahankan negeri ini daripada dijajah dan demi untuk generasi hari ini.

“Jika bukan kita, siapa lagi yang akan mempertahankan Ibu Pertiwi yang selama ini merupakan tanah tumpahnya darahku,” tegasnya.

Pada majlis itu, Dr Hazland turut menyampaikan sumbangan kepada pelajar-pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan golongan asnaf Kampung Tanjong Bako.

Dr Hazland sempat bergambar selepas Majlis Pelancaran Gabungan Parti Sarawak (GPS), Taklimat Isu-Isu Semasa dan Sambutan 722 Hari Sarawak 2019 di Dewan Kampung Tanjong Bako

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here