Kabong International Kite Festival 2019 Berjaya Menarik Penyertaan 30 Buah Negara

0
965
Antara layang-layang yang menarik perhatian pengunjung

KABONG, 10 Mac 2019 (SNN )Kabong International Kite Festival (KIKF) 2019 telah berjaya menarik penyertaan dari 30 buah negara.  Selama empat hari bermula pada 8 Mac sehingaa 11 Mac, langit Pantai Tanjung Kembang, Kabong sekali lagi berwarna-warni dipenuhi dengan pelbagai reka bentuk layang-layang yang sangat unik dan menarik.

Acara perasmian KIKF telah disempurnakan oleh ADUN Kabong, YB Mohd. Chee Kadir bersama isteri beliau. Selain itu turut hadir  Pegawai Daerah Kabong, ketua-ketua masyarakat dan pemimpin serta penduduk Kabong dan masyarakat sekitar yang turut sama datang untuk memeriahkan acara sambutan KIKF kali ini.

Kedatangan Mohd Chee Kadir serta isteri disambut meriah penduduk setempat

Dalam ucapan perasmiannya, Mohd Chee Kadir berharap agar penduduk Kabong mengambil peluang daripada penganjuran acara yang bersifat antarabangsa seperti ini untuk memajukan Daerah Kabong khasnya sekaligus menyumbang kepada kemajuan Negeri Sarawak amnya. Melalui penganjuran acara seperti  ini taraf hidup masyarakat Kabong sendiri boleh ditingkatkan sekaligus memperkenalkan Kabong kepada masyarakat luar.  

Seramai 87 orang pelayang yang mewakili 30 buah negara telah tiba di Pantai Tanjung Kembang untuk menyertai KIKF 2019 kali ini. Acara yang bertaraf antarabangsa ini menyaksikan persembahan layang-layang beraneka bentuk daripada negara-negara yang terlibat dalam pertandingan.

Bagi menyemarakkan lagi suasana KIKF kali ini pelbagai pengisian sudah disusun sepanjang berlangsungnya  festival selama empat hari ini bagi memeriahkan acara bertaraf antarabangsa itu. Antaranya termasuklah pesta ria, pertandingan tarik tali, pentas kebudayaan, pameran, pertandingan nyanyian dan banyak lagi.

Selain dapat melihat pelbagai reka bentuk dan keunikan layang-layang , para pengunjung juga akan turut berpeluang menyaksikan layang-layang berlampu atau dikenali sebagai ‘ LED kite’ .

Sejarah Ringkas Berkenaan Kabong International Kite Festival (KIKF)

Festival Layang-Layang Kabong atau nama komersilnya Kabong International Kite Festival (KIKF) ini merupakan merupakan festival layang layang kedua di Sarawak selepas Bintulu International Kite Festival . Kali pertama penganjuran KIKF pada tahun 2018  berjaya menarik penyertaan daripada 11 buah negara termasuk Malaysia.

Memandangkan sambutan yang amat menggalakkan bukan sahaja di peringkat penyertaan pertandingan itu sendiri, malahan pengunjung yang datang menyaksikan acara ini menjadikan KIKF ini telah dijadikan sebagai acara tahunan bermula pada tahun 2018.

Festival ini turut dimasukkan ke dalam Kalendar Pelancongan Sarawak sebagai salah satu pengisian acara untuk kalendar pelancongan negeri yang sedia ada pada masa kini. Perkara itu diumumkan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah pada Majlis Pelancaran KIKF pada tahun lepas (2018 ).  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here