Juh Ngeteh: Ada Apa Dengan 31 Ogos Sehingga Jadi Kontroversi di Sarawak?

0
1077
Poster Ngeteh

Dalam sebuah wacana baharu, Juh Ngeteh, seorang sejarawan muda, Samsol Bujang, telah membincangkan tajuk, “Ada Apa Dengan 31 Ogos?” di Sarawak di Bandaraya Kuching pada 25 Ogos 2018. Wacana yang serentak dilancarkan hari ini telah dianjurkan oleh Ikatan Graduan Melayu Sarawak (IGMS) di Pusat Sumber Tun Openg, Jalan Datuk Ajibah Abol, sebuah dewan yang diuruskan oleh Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak.

Samsol (tengah) sedang menyampaikan pendapat sambil diperhatikan oleh (dari kiri) Sanib, Syed Azrie dan Ismail.

Samsol yang berkelulusan Sarjana Pensejarahan Melayu dari Institut Pengajian Borneo, Universiti Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mengatakan bahawa majalah rasmi kerajaan negeri, Sarawak Gazette, telah mencatatkan 31 Ogos 1963 itu sebagai Sarawak mencapai “self-government” dalam bahagian kronologinya.  Di samping itu, hujah beliau lagi, pada malam 31 Ogos 1963, En. Stephen Kalong Ningkan, Ketua Menteri Sarawak yang baharu dilantik pada 22 Julai 1963, mengumumkan bahawa Sarawak “We will now be able to join, as an independent, self-governing unit the Federation of Malaysia which will come into being on September 16″. Ucapan ini telah diterbitkan semula di dalam buku karangan Datu Dr. Sanib Said, 22 Julai 1963 Dalam Sejarah Sarawak: Antara Fakta Dan Dusta yang boleh didapati dalam talian edagang.

Selama 54 tahun, semenjak tahun 1964 tarikh ini, 31 Ogos telah dirayakan secara besar-besaran di setiap negeri, termasuk di Sarawak sendiri.  Perayaan ini biasanya dipanggil sebagai Hari Kemerdekaantetapi yang tercatat dalam sebuah dokumen hendaklah dinyatakan sebagai Hari Kebangsaan.  Manakala 16 September pula dipanggil Hari Malaysia.

Sebahagian dari peserta Ngeteh

Bagaimanapun semenjak Kerajaan Persekutuan menjadi lemah kerana politik yang tidak stabil terdengar suara sumbang agar Sarawak tidak merayakan 31 Ogos seperti pada masa lepas.  Seorang Timbalan Ketua Menteri Sarawak telah dilaporkan agar negeri Sarawak tidak merayakan tarikh ini kerana Sarawak tidak mencapai kemerdekaan pada hari tersebut.

Sanib berkata 31 Ogos harus dihormati dengan melihat rentetan peristiwa penubuhan Malaysia.  Gagasan Malaysia bukanlah ciptaan Tunku Abdul Rahman Al-Haj, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1961.  Kuasa penjajah British yang berkuasa di Sarawak, Sabah dan Singapura adalah pihak yang mencadangkan dan kemudian memaksa Tunku Abdul Rahman membentukan sebuah persekutuan yang baharu ini.  Tujuan British dan Singapura adalah untuk menyelesaikan “masalah Singapura” yang sedang terancam oleh peluasan komunisme di Indonesia, Vietnam, Singapura, Persekutuan Tanah Melayu dan koloni Sarawak.

Dalam keadaan terpaksa itu Tunku Abdul Rahaman mencadangkan agar tarikh kelahiran Persekutuan Malaysia disamakan dengan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang baharu sahaja merdeka pada empat tahun yang lalu.  Tunku Abdul Rahman tidak cenderung untuk mendirikan sebuah lagi negara baharu pada masa serangan penganas komunis semakin kerap.

Tarikkh 31 Ogos 1963 telah diluluskan oleh Parlimen British dan Parlimen Persekutuan Tanah Melayu begitu juga dewan undangan koloni Sarawak dan Sabah.  Segala persiapan telah disusun dengan rapi oleh Ketua Menteri, Stephen Kalong Ningkan bersama dengan kabinet yang pertama itu.  Bagaimanapun kerana bantahan dari Indonesia dan Philippines yang diterima oleh Bangsa-Bangsa Bersatu maka Suruhanjaya Cobold telah dibentuk untuk meninjau pendapat rakyat Sarawak dan Sabah sama ada menyokong pembentukan Persekutuan Malaysia.

Suruhanjaya ini telah diarahkan menyelesaikan tugas mereka dalam masa dua minggu dan telah diselesaikan mengikut jadual.  Justeru itu lahirlah Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 sebagai fakta sejarah yang termeteri dalam dokumen rasmi. Namun 31 Ogos perlu dirayakan berlandaskan hasrat asal semua pihak, iaitu Britain, Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah dan menghormati pengorbanan Tunku Abdul Rahman untuk menerima cadangan Britain dan Singapura menerajui pembentukan sebuah negara baharu bernama Persekutan Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here