Jawatankuasa Dipengerusikan Persekutuan dan Negeri Bantu Pembangunan Sarawak

0
126
Abang Jo bergambar kenangan bersama Haji Mansor Man serta tetamu jemputan yang lain

KUCHING 04 Mei 2019 (SNN)- Sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan wakil dari persekutuan dan negeri ditubuhkan bagi melicinkan proses pembangunan di Sarawak. Kedua-dua pengerusi bersama adalah dalam parti politik yang berbeza.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Zohari Tun Abang Openg berkata, perkara berkenaan telah pun dipersetujui oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan meletakkan Menteri Kerja Raya, Baru Bian dan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebagai pengerusi dalam jawatankuasa itu.

Menurutnya meskipun berbeza dalam fahaman politik, namun demi kelangsungan pembangunan untuk rakyat, pihak kerajaan Sarawak mengambil pendekatan demikian sekaligus berterima kasih dengan Kerajaan Pusat atas usaha itu. Selain itu ujarnya, beliau juga telah mengambil pendekatan bersama dengan Menteri Pendidikan Persekutuan, Dr. Maszlee Malik untuk berusaha menyelesaikan masalah sekolah daif di Sarawak dan mendedahkan telah mempunyai formula untuk menyelesaikannya.

Abang Jo ketika berucap di Majlis Jamuan Persaraan Setiausaha Persekutuan,di Kuching

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Jamuan Persaraan Setiausaha Persekutuan, Dato’ Haji Mansor Man di Kuching malam Jumaat. Ketua Menteri dalam ucapannya lagi mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Mansor atas jasa dan sumbangannya dalam urusan antara pentadbiran persekutuan dan negeri.

Tambahnya lagi meskipun mempunyai banyak cabaran dalam menjalankan tugas sebagai Setiausaha Persekutan di Sarawak selama hampir dua tahun, Dato’ Mansor telah berjaya mengekalkan momentum pentadbirannya dalam sektor perkhidmatan awam walaupun berubah kerajaan di peringkat persekutuan. Justeru jelas Ketua Menteri lagi, persaraan Dato’ Mansor ini akan menjadi landasan bagi penggantinya untuk terus bekerjasama dengan sektor perkhidmatan awam di Sarawak.

Abang Jo ketika menyampaikan cenderamata sempena persaraan kepada Haji Mansor Man, di Majlis Jamuan Persaraan Setiausaha Persekutuan, di Kuching

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here