UNIMAS Prihatin Bantu SMK Ulu Balingian Atasi Masalah air

0
109
Gambar kenangan Pasukan UNIMAS bersama Pengetua, Cikgu Irie Ambau dan Guru SMKUB

Kota Samarahan, 04 Mei 2019 (SNN)- Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) prihatin membantu SMK Ulu Balingian (SMKUB) mengatasi masalah air dengan menyerahkan bantuan tangki air sebanyak 34 unit ke sekolah tersebut semalam, Jumaat, 3 Mei 2019. Penyerahan tangki air ini telah disaksikan dan disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Dato’ Dr Gazali bin Mohd Abas di SMKUB.  

SMKUB tidak mendapat bekalan air bersih sejak tahun 2015 sehingga kini dan hanya bergantung kepada air sungai dan air hujan sebagai sumber air. Masalah bekalan air bersih ini semakin serius berikutan pam air yang telah uzur dan juga kebersihan sungai Balingian yang terjejas akibat faktor pembangunan luar bandar yang menyumbang kepada permasalahan membekalkan air bersih kepada sekolah ini. 

Rombongan UNIMAS termasuklah pasukan daripada kakitangan pejabat UNIMAS GLOBAL, Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan (FPSK) yang terdiri daripada 4 doktor UNIMAS yang merupakan pensyarah universiti ini dan seramai 10 orang pelajar jurusan Doktor Perubatan selain pegawai dari Pejabat Kesihatan Selangau turut serta dalam menjayakan program penyerahan sumbangan tangki air dan juga mengadakan pemeriksaan kesihatan untuk pelajar dan guru yang turut diadakan pada sebelah pagi. 

Profesor Dr Kamarudin membuat pemeriksaan tekanan darah tinggi kepada salah seorang pelajar SMKUB

Selain itu, Pengarah Pusat Kelestarian Komuniti (PPK) UNIMAS yang juga pensyarah Fakulti Kejuruteraan turut serta untuk membentangkan projek Loji Rawatan Air Mini bagi membantu masalah air di SMKUB.   Menurut pengetua SMKUB Cikgu Irie Anak Ambau, sekolah ini memerlukan sekurang-kurangnya lapan tong air bersih setiap hari untuk menampung keperluan 713 penghuni sekolah. Beliau sangat berharap agar isu air di SMKUB dapat mendapat perhatian segera daripada kementerian bagi penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang.

Selain daripada masalah air, sekolah ini juga mengalami masalah telekomunikasi seperti tiada liputan dan isyarat telekomunikasi yang sangat lemah tambah beliau dalam ucapannya.  Cikgu Irie turut menyatakan pihak sekolah sangat menghargai keprihatinan UNIMAS yang telah menyumbangkan 34 unit tangki air ke SMKUB serta berharapan tinggi terhadap projek loji rawatan air mini oleh UNIMAS mampu mengatasi masalah air di SMKUB.   Pn Noraziah Hj Wahab, Pengarah PKK UNIMAS, selaku ketua projek bagi Sistem Loji Rawatan Air Mini menyatakan bahawa sistem ini menggunakan teknologi ultrafiltration sebagai langkah penyelesaian untuk mengatasi bekalan air bersih di SMKUB. Sistem ini tidak menggunakan bahan kimia dan beroperasi menggunakan tenaga solar. Projek ini juga telah mendapat kelulusan daripada pihak KPM dan akan dilaksanakan secepat mungkin. Projek dijangka siap pada penghujung September 2019.   

Dato’ Dr Gazali menandatangani tangka air sumbangan UNIMAS kepada SMKUB sebagai simbolik penyerahan

Pada program yang sama, UNIMAS turut mengisytiharkan SMKUB sebagai sekolah angkat UNIMAS. Selain bantuan permasalahan air, UNIMAS akan membantu dalam aspek STEM kepada SMKUB.  

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Tn Hj Abang Mat Ali bin Abang Ali Abang Masagus, Pengarah UNIMAS Global Tn Hj Azlan bin Ramli, Timbalan Dekan FPSK Profesor Dr Kamaruddin Kana, pegawai-pegawai KPM, JPNS dan UNIMAS.

Sebelum program pemeriksaan kesihatan dilaksanakan, pada sebelah pagi SMKUB turut meraikan sambutan Hari Guru 2019 peringkat sekolah bersama guru-guru dan pelajar.

Pelajar SMKUB mendaftar untuk membuat pemeriksaan kesihatan yang dsediakan oleh Fakulti Perubatan dan Kesihatan UNIMAS dengan kerjasama  Klinik Kesihatan Selangau

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here