More
    Home Hina Nabi Muhammad, Remaja 22 Tahun Dihukum Penjara 6 Tahun

    Hina Nabi Muhammad, Remaja 22 Tahun Dihukum Penjara 6 Tahun

    KUCHING, 13 September 2019 (SNN)– Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengurangkan hukuman penjara daripada 10 tahun kepada enam tahun terhadap Alister Cogia berhubung kes menghina Nabi Muhammad menerusi Facebook ‘Ayea Yea’, awal tahun ini.

    Hakim Azhahari Kamal Ramli membuat keputusan itu selepas mengambil kira faktor perbezaan masa dan tarikh bagi kesalahan dilakukan tertuduh yang berusia 22 tahun.

    “Tertuduh melakukan dua kesalahan pada hari yang sama, cuma masa berbeza, manakala dua kesalahan lagi dilakukan pada tiga hari berlainan. Oleh itu, faktor masa memainkan peranan penting dalam hal ini.

    “Hukuman penjara bagi kesalahan yang dilakukan tertuduh pada hari berbeza sepatutnya dijalankan secara berturutan, manakala hukuman penjara bagi kesalahan yang dilakukan pada hari yang sama harus dijalankan serentak,” katanya.

    Azhahari juga menegaskan bahawa sungguh pun semakan hukuman itu diterima, harus diingat bahawa kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh adalah serius yang boleh menggugat keharmonian kaum di Sarawak.

    Mengenai tahap kesihatan mental Alister pula, mahkamah mendapati dia sihat dari segi mental dan layak dibicarakan di mahkamah.

    Justeru, faktor kesihatan mental tidak diambil kira oleh mahkamah ketika membuat pengurangan terhadap hukuman penjara terbabit.

    Sebelum ini, pada Mac lepas Alister Cogia didakwa menghina Nabi Muhammad SAW menerusi Facebook ‘Ayea Yea’ dan dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 bulan pada 8 Mac lalu oleh Hakim Mahkamah Sesyen Jason Juga.

    Mengikut pertuduhan, Alister yang berasal dari Singai, Bau didakwa memuat naik beberapa komen bersifat sensitif dan boleh menggugat keharmonian rakyat negara ini.

    Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada jam 7.11 malam, 9 Februari lalu, diikuti 12.56 tengah malam (10 Februari); 1.28 pagi (14 Februari) dan masing-masing pada jam 10 malam serta 10.05 malam (24 Februari).

    Lima pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan dan denda mengikut Seksyen 298A(1) kanun sama. Pertuduhan lain mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    Dia yang tidak diwakili peguam ketika itu mengaku bersalah dan turut dikenakan denda RM50,000 sekiranya mahu mengurangkan hukuman penjara 10 bulan ditetapkan.

    Hukuman itu menarik perhatian pelbagai pihak sehingga ada yang memohon semakan semula kes kerana dikhuatiri Alister berdepan masalah mental.

    Sumber : NSTP, Malaysia Today

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    0
    KOTA SAMARAHAN, 15 JANUARI 2021 (SNN) : Prihatin terhadap nasib yang menimpa mangsa banjir yang dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Suarah, Samarahan...