Sarawak Catat IPU “Sangat Tidak Sihat” di Tiga Kawasan

0
612
Jerebu di Kuching tengah hari tadi ( Foto : SNN)

KUCHING, 16 September 2019 (SNN)– Kuching, Sri Aman dan Samarahan di Sarawak merekodkan peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) daripada tahap tidak sihat kepada sangat tidak sihat iaitu melebihi 210, setakat jam 12 tengah hari ini.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) sehingga jam 12 tengah hari, Kuching mencatatkan bacaan tertinggi dengan 241 manakala Sri Aman 220, dan Samarahan  213.

Di Sarawak, jumlah stesen yang merekodkan bacaan sangat tidak sihat berjumlah tiga kawasan setakat tengah hari tadi, manakala sebuah stesen di Sarikei mencatatkan bacaan tidak sihat dengan bacaan 155. Manakala Sibu  mencatatkan bacaan 137, Bintulu 149, Mukah 133, Samalaju 132, dan Miri 126.

Suasana jerebu di Petra Jaya, Kuching hari ini ( Foto : SNN)

Sehubungan dengan itu sebanyak 500 sekolah di tiga bahagian di negeri ini dijangka ditutup esok berikutan keadaan jerebu yang berlaku ketika ini. Ia selaras dengan Surat Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 1 Tahun 2019 bertarikh 15 Januari 2019 bahawa jika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200, semua sekolah di kawasan atau daerah terjejas perlu ditutup serta merta.

Pengarah Pendidikan Sarawak, Dr Azhar Ahmad, berkata tindakan itu demi menjamin kesihatan dan keselamatan murid. “Arahan itu terpakai dalam keadaan jerebu yang berlaku sekarang,” katanya.

Berdasarkan surat berkenaan, pengetua dan guru besar hendaklah memaklumkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) berhubung langkah penutupan sekolah itu. Bagi kawasan yang bacaan IPU melebihi 100, pihak sekolah hendaklah menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah, manakala aktiviti keramaian atau sukan di luar bangunan ditangguhkan.

Selain itu, semua jenis peperiksaan termasuk peperiksaan awam pula perlu diteruskan, namun Lembaga Peperiksaan (LP) akan menangguhkan peperiksaan kepada tarikh yang akan ditetapkan jika bacaan IPU mencecah 300.

Selain di Sarawak, Putrajaya juga mencatatkan bacaan dalam kategori sangat tidak sihat dengan nilai bacaan 202.  Berdasarkan bacaan Indeks pencemaran Udara (IPU) yang telah melebihi 200, Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Putrajaya telah memaklumkan bahawa semua sekolah di Putrajaya akan ditutup esok, 17 September 2019.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas adalah berbahaya.

Sumber : BH, APIMS

Suasana jerebu di Kota Samarahan petang tadi ( Foto : SNN)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here