Hanafi, Anak Melayu Saratok Bertaraf Dunia

0
1399
Hanafi sewaktu Majlis Sambutan Ketibaan Kontinjen Negara dari Pertandingan World Skills Competiton 2019 di Kazan, Rusia baru-baru ini (Foto: GIATMARA)

SARATOK, 01 September 2019 (SNN)- Hanafi, anak Melayu Saratok yang usianya baru sahaja mencecah 21 tahun, namun semangat dalam diri anak muda ini terhadap bidang jahitan pakaian dan fesyen amat luar biasa. Ternyata ia tidak sia-sia apabila dia bukan sahaja memenangi Pingat Best of Nation dalam Pertandingan World Skills Competiton 2019 di Kazan, Rusia baru-baru ini, malah disenaraikan sebagai antara enam peserta terbaik dunia.

Sepanjang tahun 2019 ini, anak didik GIATMARA Saratok, Sarawak ini berjaya merangkul lima kejuaraan iaitu di Global Skills Challenge 2019 bertempat di Melbourne Australia dengan mendapat pingat perak, seterusnya tempat keempat di BRISC-Belt & Road International Skills Competiton 2019 di Beijing China, pingat gangsa di Beijing Fashion Technology International Competition 2019, dan terbaru memenangi pingat Medallion of Excellent di World Skills Competition 2019 yang bertempat di Kazan, Rusia. Beliau dalam masa yang sama memenangi pingat Best of Nation dalam pertandingan tersebut.

Hanafi semasa di pertandingan World Skills Competition 2019 yang bertempat di Kazan, Rusia. Beliau memenangi pingat Medallion of Excellent serta pingat Best of Nation dalam pertandingan tersebut (Foto : GIATMARA)

Kemenangan itu juga menjadikan anak kelahiran Kampung Kupang, Saratok itu berada di kedudukan enam peserta terbaik dunia dalam bidang jahitan dan teknologi fesyen.

Kejayaan Hanafi bermula pada tahun 2017 apabila beliau memenangi pingat perak di pertandingan Worldskills Malaysia Belia  (WSMB) 2017 di Kuala Lumpur dan diikuti oleh pertandingan Asean Skills Competition 2018 di Bangkok, Thailand, juga mendapat pingat perak. Kejayaan demi kejayaan mengiringi anak muda ini apabila sekali lagi memenangi pingat perak pada pertandingan Worldskills Asia 2018 di Abu Dhabi, UEA.

Hanafi (kiri) bersama tenaga pengajar pakar yang membimbing beliau, Pn.Misuri Tuah (kedua dari kiri ) semasa Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2017, World Skills Malaysia Belia (WSMB) 2017 (Foto : GIATMARA)
Hanafi bersama Pn.Misuri Tuah semasa menerima pingat Perak pada pertandingan Asean Skills Competition 2018 di Bangkok, Thailand (Foto:GIATMARA).

Pengurus GIATMARA Saratok, Encik Abadi Bin Hussein berkata kejayaan yang diraih oleh Hanafi itu tidak datang bergolek, sebaliknya menuntut komitmen penuh dan disiplin tinggi. Ini ditambah lagi dengan adanya latihan berterusan, bantuan serta sokongan daripada tenaga pengajar pakar dalam bidang jahitan dan fesyen di GIATMARA Saratok iaitu Pn. Misuri Tuah dan Pn. Kasma Bujang.

Sementara itu, Abadi berkata, bakat yang ada dalam diri Hanafi ini tidak perlu dipertikaikan lagi selepas memenangi banyak anugerah sehingga berjaya menempatkan diri di kedudukan enam terbaik dunia.

Katanya, sejak dari awal lagi, dia telah melihat Hanafi sememangnya berbakat dalam bidang berkenaan, malah menunjukkan disiplin dan komitmen yang tinggi untuk berjaya dalam bidang tersebut.

“Sejak Hanafi menceburi bidang ini, dia tidak pernah gagal menghadiri latihan yang diadakan setiap hari melainkan jika demam. Saya kagum dengan semangat yang ditunjukkan anak muda ini dan berharap sikapnya itu dicontohi gologan belia yang lain”, ujar Abadi lagi.

Hanafi memenangi pingat Perak semasa mewakili Malaysia ke Worldskills Asia 2018, bertempat di Abu Dhabi, UAE (Foto: GIATMARA)
Hanafi (tengah) sewaktu mewakili Malaysia ke Global Skills Challenge 2019 di Melbourne, Australia (Foto :GIATMARA).

“Saya juga berterima kasih kepada guru merangkap jurulatih kepada Hanafi, Pn. Misuri Tuah dan Pn. Kasma Bujang yang tidak jemu melatih dan memperbaiki mutu dan persembahan anak muda itu dalam bidang jahitan dan fesyen”. Menurut Abadi, pihak pengurusan GIATMARA sentiasa memberikan sokongan penuh kepada mana-mana pelatih yang dihantar untuk menyertai pertandingan sama ada di dalam atau di luar negara.

“Kita mahu buktikan jaguh kampung mampu melakar sejarah di pentas dunia sekiranya mendapat bimbingan yang sewajarnya dan sokongan penuh untuk meneruskan kecemerlangan ini. Syukur Alhamdulillah semua pihak, tenaga pengajar serta pengurusan GIATMARA sentiasa memberi sokongan penuh kepada kami untuk mengukir kejayaan yang bersejarah ini”, ujarnya lagi.

Hanafi mendapat pingat Gangsa semasa mewakili Malaysia ke Beijing Fashion Technology International Competition 2019 di Beijing, China ( Foto: GIATMARA).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here