Graduan Melayu sokong Abdul Karim agar Sulong dikekalkan jadi Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS

0
382

KUCHING, 21 JANUARI 2020 (SNN) – Ikatan Graduan Melayu Sarawak (IGMS) menyokong cadangan YB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak merangkap Menteri Belia dan Sukan Sarawak, agar Tan Sri Sulong Matjeraie dikekalkan sebagai Pengerusi Lembaga UNIMAS Pengarah untuk menyelesaikan kontroversi yang tercetus semenjak beberapa minggu yang lalu.

Datu Dr. Hj. Sanib bin Hj. Said, Yang Dipertua, Ikatan Graduan Melayu Sarawak (IGMS) hari ini mengeluarkan kenyataan media tentang kontroversi pelantikan Pengerusi, Lembaga Pengarah UNIMAS. Beliau menegaskan UNIMAS mestilah dipimpin oleh anak Sarawak.

Datuk Abdul Karim. Gambar Google

Akhbar dan portal berita di Sarawak pada 16 Januari 2020 telah melaporkan YB Datuk Abdul Karim sebagai berkata bahawa tempoh perkhidmatan Tan Sri Sulong hanya akan tamat pada bulan April 2021.

Tidak Adil

IGMS berpandangan bahawa tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia menamatkan tempoh pelantikan Tan Sri Sulong adalah tidak adil dan meminggirkan Kerajaan Negeri Sarawak.  Sebagai seorang mantan Hakim Mahkamah Persekutuan adalah jelas bahawa Tan Sri Sulong merupakan seorang yang sangat dihormati bukan saja di Sarawak malah di seluruh Malaysia.  Pencapaian beliau sangat disanjung tinggi, khususnya di Sarawak kerana jarang sekali dinikmati oleh anak Sarawak.  Justeru itulah tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia ini telah ditentang pemimpin dan rakyat Sarawak.

Tan Sri Sulong (UNIMAS)

Kementerian Pendidikan Malaysia sepatutnya lebih berhemah dalam membuat pelantikan ke IPTA yang berada di negeri-negeri di luar Kuala Lumpur atau Putra Jaya.  Kebanyakan IPTA di negeri-negeri diterajui oleh anak negeri masing-masing, sama ada di Sabah, Kelantan atau Johor.  Negeri Sarawak tidak terkecuali mahu melihat anak negeri sendiri yang menjadi peneraju UNIMAS.  Justeru itulah Kerajaan Negeri Sarawak banyak membantu UNIMAS bukan sahaja dalam bentuk fizikal tetapi juga dalam bentuk kemudahan penyelidikan dan bantuan kewangan.  Kerajaan Negeri telah banyak memberi kurnia kewangan untuk penubuhan kursi penyelidikan seperti Kursi Tun Ahmad Zaidi, Kursi Pehin Sri Taib Mahmud, Kursi Datuk Patinggi Adenan Satem dan banyak lagi.  Setiap kursi mendapat jutaan ringgit dari Kerajaan Negeri Sarawak.

Sarawak Sumbang Jutaan Ringgit

Di samping itu masyarakat Sarawak sendiri juga turut memberi kurnia kewangan kerana mereka sangat bangga dengan UNIMAS.  Semenjak tahun 1998 lagi etnik Sarawak telah menyumbangkan kurnia kewangan untuk Kursi Nusantara, Kursi Dayak dan Kursi Sino-Borneo yang menjangkau jutaan ringgit setiap satu.

Begitu juga dengan geran penyelidikan untuk para akademik.  Kerajaan Negeri secara langsung ataupun melalui jabatan-jabatan dan badan berkanun menghulurkan geran penyelidikan kepada pensyarah-pensyarah UNIMAS setiap tahun.  Semua ini telah membantu UNIMAS mencapai tanda aras yang baik dan pensyarah-pensyarah telah berjaya meningkatkan penyelidikan dan penerbitan mereka.

Justeru itu adalah sangat tidak adil jika Tan Sri Sulong ditamatkan perkhidmatannya sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS dan digantikan oleh seorang yang bukan anak Sarawak.  Bagaimanapun beliau telah mengundurkan diri pada minggu lepas setelah menyedari bahawa pelantikan beliau telah ditentang oleh Kerajaan Negeri Sarawak dan pemimpin politik.

Mesti Anak Sarawak

Kementerian Pendidikan Malaysia harus menghormati dan menghargai sumbangan besar Kerajaan Negeri Sarawak dan masyarakat Sarawak yang telah banyak membantu UNIMAS dengan melantik anak Sarawak sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS.  Kontroversi ini boleh diselesaikan sama ada mengekalkan pelantikan Tan Sri Sulong atau pun melantik seorang anak Sarawak yang lain dengan persetujuan Kerajaan Negeri Sarawak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here