Belia Digalak Ceburi Bidang Perniagaan Sebagai Kerjaya Masa Depan

0
321
Para peserta kursus gembira menunjukkan sijil masing-masing pada Majlis Penyampaian Sijil Kursus Mencetak Baju dan Beg PBB Ranting Taman Mesra Bako yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut ,Dr Hazland Abang Hipni

KUCHING, 03 April 2019 (SNN)- Belia digalak ceburi bidang perniagaan sebagai suatu kerjaya di masa hadapan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut YB Dr Hazland Abang Hipni berkata sudah tiba masanya belia di kawasan Demak Laut bergiat aktif dalam bidang usahawan seperti mana kursus mencetak baju dan beg yang diadakan pada hari ini.

Seramai 27 peserta yang terdiri daripada pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Taman Mesra Bako telah menyertai Kursus Mencetak Baju dan Beg yang diadakan di sini.  “Seingat saya, penganjuran Kursus Mencetak Baju dan Beg ini merupakan yang pertama kali diadakan di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut”. katanya.

Dr Hazland turut mengesyorkan peserta-peserta kursus ini selepas ini boleh mengikuti Kursus Keusahawanan Digital yang kini sedang diadakan di dua Pusat Internet Kampung Bako Lot dan Pusat Internet Taman Sepakat Jaya.

“Selepas ini, peserta boleh mengikuti Kursus Keusahawanan Digital sebagai pelengkap dalam mendalami kursus berkaitan perniagaan. Selain daripada sijil, peserta kursus juga akan mendapat ilmu dan manfaat yang boleh digunakan untuk membuka perniagaan secara berseorangan atau berpasukan,” katanya.

“Tidak salah jika pemuda PBB Demak Laut mahu menjadikan kursus pada hari ini sebagai asas kepada memulakan perniagaan,” katanya lagi semasa menyampaikan ucapan di Majlis Penyampaian Sijil Kursus Mencetak Baju dan Beg PBB Ranting Taman Mesra Bako.

“Kawasan Bako ini terkenal dengan kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara untuk melihat keindahan pemandangan flora dan fauna di Taman Negara Bako dan Pulau Lakir. Dari situ, pemuda PBB Ranting Taman Mesra Bako boleh mengambil kesempatan ini dengan mencetak dan menjual baju dan cenderamata bertemakan Taman Negara Bako, Pulau Lakir dan sebagainya”, tambahnya lagi.

Jelas Dr Hazland lagi, “sebelum ini kita juga telah menganjurkan kursus seperti pembuatan makanan sejuk beku, simen fero dan gunting rambut. Sekiranya peserta ingin mengetahui lebih lanjut berkenaan kursus-kursus perniagaan yang diadakan Pusat Khidmat DUN N.05 Demak Laut, boleh terus menghubungi saya, Insha Allah, saya akan memberikan sokongan kepada mereka yang benar-benar mahu terlibat dalam bidang perniagaan ini,” tambahnya.

Menurut Ketua Pemuda PBB Ranting Taman Mesra Bako Mohd Yussuf bin Jenal Abidin penganjuran kursus ini adalah kehendak pemuda-pemuda PBB Ranting Taman Mesra Bako. “Kita (PBB Ranting Taman Mesra Bako) telah menganjurkan kursus mencetak baju ini bersama dengan salah seorang usahawan yang berjaya dalam industri ini. Selain dapat berkongsi ilmu dan kemahiran, kursus ini juga turut mendedahkan dan berkongsi kejayaan pengusaha industri ini yang bermula daripada zero hingga kepada seorang yang berjaya”.

“Inilah yang kita mahu terapkan kepada pemuda-pemuda PBB Ranting Taman Mesra Bako agar bukan sahaja menceburi bidang ini sebagai satu hobi, tetapi juga berkecimpung dalam perniagaan mencetak baju,” katanya.

Melihat kepada sambutan yang diterima sangat menggalakkan, kita bercadang akan meneruskan kursus ini kepada pemuda di Taman Mesra Bako dan sekitarnya. “Pada hari ini seramai 27 peserta telah mengikutinya walaupun sebelum ini kita telah menghadkan kepada 20 orang sahaja. Bagaimanapun, atas sambutan yang menggalakkan ini kita menerima kehadiran mereka dan akan mengadakan kursus yang sama seperti ini di masa akan datang. Malah, kita juga beruntung bahawa kursus ini diajar dan dikendalikan oleh Setiausaha Pemuda PBB Ranting Taman Mesra Bako Mohd Tarmigi bin Sabli sendiri,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here