Bayi Sarawak yang lahir dengan status “K” disaran daftar Endowment Fund Sarawak (EFS)

0
156
Fatimah(tengah) dalam sidang media di pejabat Kementeriannya pada hari ini

KUCHING, 05 OGOS 2020 (SNN) : Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) sebelum ini telah mengumumkan Dana Endowmen Sarawak (EFS) bagi membantu setiap bayi yang lahir di Sarawak atau anak kelahiran Sarawak yang mempunyai status “K” pada kad kelahiran/ pengenalan diri mereka.

Menterinya, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, setakat 31 Julai 2020 seramai 13,583 atau 79 peratus bayi telah mendaftar untuk permohonan EFS itu.

“Seramai 12,184 atau 90 peratus dianggarkan telah membuka akaun Bank Islam setakat 31 Julai lalu dan diharapkan akan lebih ramai ibu-bapa akan membuka dan membuat permohonan bantuan yang diberikan oleh kerajaan Sarawak ini,” katanya semasa sidang media Majlis Penyerahan EFS, Bantuan Ibu Bersalin (BIB), Geran Tahunan Khas (GTK), dan Kad Emas Sarawak (KGC) di sini hari ini.

Simbolik penyerahan Kenyalang Gold Card (KGC) kepada setiap wakil ADUN yang hadir

Tambahnya, bagi BIB pula, setakat 31 Julai 2020 dalam rekod laporan yang diterima sejumlah 17,075 jumlah pendaftaran berstatus “K” yang melahirkan anak di seluruh Sarawak telah didaftarkan dan daripada jumlah tersebut sebanyak 8,183 telah membuat permohonan BIB manakala sebanyak 4,140 permohonan telah menerima pembayaran.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat berkata, berkenaan dengan KGC, setakat ini sebanyak 162,298 permohonan telah dibuat dan diterima dalam rekod setakat 04 Ogos 2020. Dari jumlah itu, sebanyak 96,712 kad telah dicetak dan 19,528 telah diagihkan kepada penerimanya.

Dalam pada itu, Geran Tahunan Khas pula setakat 31 Julai lalu, sebanyak 2,978 Institusi Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IPAKK) telah memohon untuk geran tersebut dengan anggaran dana disalurkan berjumlah RM14 juta.

Turut hadir sama Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis.-Nizal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here