Anak Kabong di Perantauan Disaran Sentiasa Berhubung dan Berkerjasama Atasi Kesulitan

0
672
Mohd Chee Kadir bergambar bersama tetamu dan kanak-kanak yang hadir pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Persatuan Anak Kabong di Dewan Jamilah, Bangunan Yayasan Sarawak, Jalan Sultan Tengah, Kuching pagi tadi

Kuching, 29 Jun 2019 (SNN)- Anak-anak Kabong yang berada di perantauan disarankan untuk sentiasa berhubung dan berkerjasama bagi mengatasi sebarang kesulitan. Yang Berhormat Encik Mohd Chee Bin Kadir (ADUN N.40 Kabong) berkata demikian semasa hadir bersama isteri ke Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Persatuan Anak Kabong yang berlangsung di Dewan Jamilah, Bangunan Yayasan Sarawak, Jalan Sultan Tengah, Kuching pagi tadi.

Dalam ucapannya, Mohd Chee Kadir mengucapkan terima kasih kepada penganjur ke atas jemputan di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri yang dianjurkan oleh Persatuan Anak Kabong kali yang ke-lima dan telah dijemput hadir untuk kali yang ke-tiga sejak tahun 2017. 

Beliau turut mengucapkan syabas kepada AJK penganjur majlis kali ini, yang telah berjaya menghimpunkan lebih kurang 700 orang Kabong untuk sama-sama meraikan majlis yang disambut di luar kawasan Kabong.

Mohd Chee Kadir semasa menyampaikan ucapan beliau

Menurut Mohd Chee Kadir, tujuan majlis ini bukanlah sekadar menikmati juadah hari raya tetapi yang lebih utama adalah menjalinkan hubungan silaturrahim dan memperkukuhkan semangat kerjasama dan bertolong bantu.

“Orang-orang Kabong yang berada di perantauan, walau di mana saja mereka berada hendaklah saling mengambil-tahu dan berkerjasama dalam apa juga majlis keramaian mahupun sebarang kesulitan seperti sakit dan kematian”, ujarnya lagi.

Mohd Chee Kadir turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada barisan kepimpinan lama Persatuan Anak Kabong yang diterajui oleh Tuan Hj Yusuf Hj Amir kerana merekalah antara pelopor kepada penubuhan persatuan tersebut pada 24 Disember 2014 dan meletakkan persatuan sehingga berada di landasan yg betul. 

“Adalah diharapkan agar barisan kepimpinan baru yg diterajui oleh Saudara Semawi Hj Mohamad akan terus memacu Persatuan Anak Kabong dalam menjaga soal kebajikan orang Kabong yang berada di perantauan, di Kuching dan Samarahan”, katanya lagi.

Mengakhiri ucapannya, Mohd Chee Kadir berharap agar lebih ramai orang-orang Kabong menyertai Persatuan Anak Kabong dalam usaha untuk memperkukuhkan lagi kekuatan keahlian dan mempergiatkan lagi aktiviti yang bermanfaat untuk semua.

Mohd Chee Kadir memukul gendang (bedok) sebagai simbolik perasmian Majlis Ramah Tamah Aidilfitri sambil diiringi isteri beliau, Meryani Bt Mohammad Yassin, serta Pengerusi Persatuan Anak Kabong, Semawi Bin Haji Mohamad serta isteri

Pada majlis ini Persatuan Anak Kabong berjaya mengumpulkan hampir 700 orang awam yang berasal dari Daerah Kabong. Ada yang datang dari Kabong semata-mata untuk menghadiri majlis ini. Namun rata-rata yang hadir adalah anak-anak Kabong yang berkhidmat di luar Kabong, khususnya di kawasan Kuching dan Samarahan.

Mohd Chee Kadir turut menyampaikan cek untuk aktiviti korban kepada Persatuan Anak Kabong yang berjumlah RM15,000 serta menyampaikan sijil penyertaan kepada bekas ahli persatuan yang turut hadir memeriahkan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri tersebut. Selain itu seperti biasa Mohd Chee Kadir turut menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir sama ke majlis berkenaan.

Hadir sama pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri ini adalah Pengerusi Persatuan Anak Kabong, Semawi Bin Haji Mohamad serta isteri, Penghulu Kampung Hulu Kabong, Tuan Haji Sani Bin Haji Mohammad, mantan pengerusi Persatuan Anak Kabong, Tuan Haji Yusuf Bin Haji Amir, Tuan Haji Olen Bin Tabur, Pengerusi Persatuan Alumni SK Abang Leman Kabong serta rombongan , Johan Bin Haji Abd Rahman, Pengerusi PIBG SK Abang Leman Kabong serta rombongan, AJK-AJK Persatuan Anak Kabong, serta tetamu jemputan yang lain.

Mohd Chee Kadir turut menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir sama ke majlis ini
700 orang tetamu datang memeriahkan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Persatuan Anak Kabong di Dewan Jamilah, Bangunan Yayasan Sarawak, Kuching

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here