More
    Home Amalan Berpuasa Sunat Enam Pada Bulan Syawal

    Amalan Berpuasa Sunat Enam Pada Bulan Syawal

    29 Mei 2020 (SNN) : Kehadiran Syawal bukan semata-mata meraikan kejayaan melipatgandakan amal ibadat sepanjang Ramadan lalu, sebaliknya ia menjadi pengukur sama ada bulan puasa yang berlalu memberi impak atau sebaliknya kepada jiwa kita.

    Selesai beribadah pada Ramadan, bukan bermakna telah selesai rutin dan amalan ibadah kita pada bulan lain. Walaupun ganjaran pahala yang Allah SWT kurniakan tidak setinggi ganjaran pahala pada Ramadan, tetapi itu adalah kualiti nilai tarbiah diri ketika kita menjalani ibadah bulan mulia itu.

    Syawal juga dilihat sebagai medan untuk menentukan sama ada amalan Ramadan benar-benar terkesan dalam hati dan perbuatan kita. Sekiranya kita masih mengekalkan rutin ibadah seperti membaca al-Quran, bersolat pada awal waktu, sabar dengan ujian, tidak mengumpat atau menjauhi perbuatan maksiat, bererti madrasah Ramadan kita benar-benar mengukuh dalam diri.

    Jika kita meninggalkan amalan pada bulan mulia itu, bererti kita hanya sekadar beribadah mengikut adat dan budaya sahaja, tetapi tidak melaksanakan amalan itu kerana Allah SWT. Amal ibadah lain yang boleh kita terus laksanakan pada Syawal ialah puasa sunat enam.

    Seperti kata Abu Ayyub Al-Ansari, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari pada Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” (Riwayat Muslim)

    Ganjaran puasa sunat enam Syawal

    Rasulullah SAW menyatakan puasa enam hari selepas Ramadan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun. Ganjaran pahala ini hanya terdapat pada puasa sunat enam Syawal dan ia adalah satu kelebihan bagi umat Islam untuk meningkatkan ketakwaan di sisi Allah SWT.

    Menyingkap hikmah berpuasa enam jika dilihat dari sudut kesihatan, ia baik bagi sistem pencernaan yang berehat lama pada Ramadan. Jika kita dapat meneruskan puasa pada Syawal, tidak dapat tidak ia seperti satu latihan secara beransur-ansur untuk sistem penghadaman kembali kepada keadaan biasa.

    Sesungguhnya kita hendaklah sentiasa istiqamah beribadah kepada Allah SWT supaya terus dapat membina hubungan dengan Allah SWT dan mengekalkan hubungan baik sesama manusia seperti dilakukan pada Ramadan.

    Kata ulama, betapa malangnya orang yang hanya mengenal Allah pada Ramadan, sedangkan pada bulan lain Allah SWT dilupai. Rugi bagi kita jika tidak mengambil kesempatan dan peluang yang Allah SWT berikan ini untuk menambah amal ibadah kepada Allah SWT.

    Jadikanlah Syawal ini ruang untuk kita meneruskan momentum beramal salih kepada Allah SWT, mudah-mudahan kita menjadi hamba yang mendapat pandangan tertinggi di sisi-Nya dan penghuni syurga Allah SWT yang kekal abadi.

    Malah antara nikmat yang sungguh hebat untuk mereka yang berpuasa ialah syurga yang dikhaskan kepada orang yang berpuasa sahaja seperti sabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama al-Rayyan khusus untuk ahli puasa memasuki syurga melaluinya pada hari kiamat kelak. Selain mereka, tidak ada yang dibenarkan masuk. (HR Ahmad, Bukhari dan Muslim)

    Dalam hadis lain pula, Nabi SAW menceritakan orang berpuasa diseru untuk memasuki syurga melalui pintu itu hingga apabila semua melintasnya, pintu itu akan ditutup.

    Dalam menilai sejauh mana kedudukan puasa Ramadan seseorang Muslim, maka puasa enam boleh dianggap antara kayu pengukur tahap ketakwaan selepas berjaya melaksanakan sebulan puasa.

    Nabi SAW bersabda: Berpuasa sebulan (pada Ramadan itu disamakan) dengan 10 bulan berpuasa dan berpuasa enam hari selepasnya (pada Syawal disamakan) dengan dua bulan berpuasa, maka yang sedemikian itu (jika dicampurkan menjadi) genap setahun.” (HR Nasa’ie)

    Walaupun demikian, berpuasa sunat ini dianggap menjadi cabaran kepada umat Islam untuk menunaikannya kerana bukan mudah berpuasa dalam keadaan orang lain bebas makan minum hidangan yang enak.

    Sungguhpun begitu, Allah SWT memberi ganjaran besar kepada mereka yang berjaya melepasi ‘ujian’ itu dengan berpuasa sunat di bulan Syawal. Malahan amalan sunat itu, lebih afdal dilakukan berturut-turut pada awal bulan Syawal, iaitu bermula daripada 2 Syawal. Namun sekiranya tidak mampu, boleh dikerjakan secara berselang-seli sepanjang Syawal yang mana  fadilatnya tetap ada. Ini kerana apabila Rasulullah SAW menganjurkan puasa sunat enam hari ini, Baginda menyebut Syawal secara umum tanpa menentukan hari-harinya.

    Puasa enam norma baharu

    Dalam suasana PKPB pada hari ini, amalan puasa enam ini sangat sesuai diamalkan dengan suasana kondusif dan lebih meriah dengan beberapa cadangan seperti berikut :

    (a) Menetapkan jadual hari berpuasa pada hari Isnin, Khamis dan Hari Putih.

    Hari Putih ialah pada 13, 14 dan 15 Syawal bersamaan Jumaat 5 Jun, Sabtu 6 Jun dan Ahad 7 Jun 2020. Daripada Ibnu Milhan Al-Qoisiy, daripada ayahnya, beliau berkata;

    كَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَأْمُرُنَا أَنْ نَصُومَ الْبِيضَ ثَلاَثَ عَشْرَةَ وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ وَخَمْسَ عَشْرَةَ . وَقَالَ هُنَّ كَهَيْئَةِ الدَّهْرِ

    “Rasulullah S.A.W selalu memerintahkan kami untuk berpuasa pada ayyamul bidh yaitu 13, 14 dan 15 (dari bulan Hijriyah).” Dan Baginda bersabda, “Puasa ayyamul bidh itu seperti puasa setahun.”
    (Riwayat Abu Daud)

    Justeru, dicadangkan berpuasa 6 pada Khamis 28 Mei, Isnin 1 Jun, Khamis 4 Jun, Jumaat 5 Jun, Sabtu 6 Jun dan Ahad 7 Jun. Sekiranya ada hari yang keuzuran bolehlah digantikan pada Isnin dan Khamis selepas itu.

    (b) Dilakukan oleh kesemua ahli keluarga sepertimana suasana Ramadan.

    (c) Bersahur dan berbuka bersama ahli keluarga termasuk mendirikan solat fardhu berjamaah.

    (d) Menggalakkan ahli keluarga yang berjauhan untuk berpuasa bersama-sama.

    (e) Selain Isnin dan Khamis boleh diisi dengan puasa qadha bagi mereka yang tidak dapat berpuasa penuh pada Ramadan.

    (f) Dari segi niat, puasa sunat boleh diniatkan sebelum Zohor. Berbeza dengan puasa fadhu.

    Kesimpulan

    Hakikatnya banyak lagi kelebihan berpuasa enam, atau kelebihan berpuasa itu sendiri. Sepertimana yang kita ketahui puasa itu membuahkan takwa. Imam al-Ghazali menghuraikan takwa di dalam Minhajul Abidin;

    التقوى هو اجتناب كل ما تخاف منه ضررا في دينك، ألا ترى أنه يقال للمريض المحتمي إنه يتقي إذا اجتنب كل شيء يضره في بدنه من طعام أو شراب أو فاكهة أو غيرها

    “Takwa itu ialah kamu menjauhi semua yang dikhuatiri akan merosakkan agama kamu. Tidakkah kamu melihat bahawa dikatakan kepada pesakit yang dijaga, supaya menjauhi semua perkara yang boleh memudaratkan badannya sama ada dari segi makanan, minuman buah-buahan ataupun selainnya.”

    Semoga dengan puasa enam ini menjadikan diri kita sentiasa dilandasi dengan dasar takwa sehinggalah bertemu dengan Ramadhan pada tahun hadapan, insya-Allah.

    Sumber : JAKIM, Harakahdaily

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Kerja-kerja menaik taraf Loji Rawatan Air Batu Kitang siap Julai ini-Julaihi

    0
    KUCHING, 28 MAC 2024 (SNN): Kerja-kerja fizikal menaik taraf Loji Rawatan Air Batu Kitang yang bermula sejak 1 Mac 2021 lalu dijangka siap sepenuhnya...