Almarhumah Datuk Patinggi Dr. Hajjah Laila Taib Terima Anugerah Sri Kandi PERKIM Sarawak

0
404
Tun Taib ditemani Toh Puan Raghad, Abang Johari, Juma'ani, Fatimah, Hanifah dan tetamu kehormat lain memotong kek sempena Ulang Tahun Perkim yang ke-30 di The Waterfront Hotel malam tadi.

Kuching, 31 Mac 2019 (SNN) – Almarhumah Datuk Patinggi Dr. Hajjah Laila Taib menerima Anugerah Sri Kandi PERKIM Sarawak bersempena sambutan ulangtahun Ke-30 PERKIM Bahagian Sarawak yang telah diadakan di The Waterfront Hotel malam tadi. Anugerah tersebut disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Hajjah Hanifah Taib Alsree kepada Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.

Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud juga turut menerima Anugerah Penghormatan Tokoh Kepimpinan PERKIM Sarawak. Tiga anugerah yang turut disampaikan pada majlis ini ialah Anugerah Jasa Gemilang PERKIM Sarawak, Anugerah Jasa Bakti PERKIM Sarawak dan Anugerah Jasamu Dikenang.

Dalam ucapannya, Tun Taib berkata, falsafah politik merapatkan semua lapisan masyarakat yang diperkenalkan sejak dahulu masih menjadi amalan hidup rakyat berbilang kaum di Sarawak. Malah, tegasnya ini menyumbang kepada hubungan masyarakat yang semakin kukuh walaupun mengikut kepercayaan masing-masing.

“Oleh sebab itu, kita di Sarawak telah pun dapat hidup dalam suasana mesra dan juga menyumbang kepada perpaduan dan kemajuan di negeri kita ini. Sehubungan itu, saya mengucap syukur kerana hubungan kita dalam pergerakan agama cukup baik dengan masyarakat bukan Islam,” katanya.

“Ini tidak bertentangan dengan ajaran Islam kerana Islam mengajarkan kita supaya mempunyai hubungan baik dengan sesiapa sahaja,” tambah Tun Taib. Dalam pada itu, beliau memuji PERKIM kerana menjadi sebuah organisasi berjaya merapatkan hubungan antara masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini melalui aktiviti kebajikan.

PERKIM Bahagian Sarawak yang telah ditubuhkan pada Februari 1989 oleh Almarhumah Datuk Patinggi (Dr) Hajah Laila Taib kini telah  mempunyai keahlian seramai 4,818 di seluruh Sarawak. “Pergerakan PERKIM di Sarawak telah menunjukkan sebenarnya bagaimana orang Islam mengamalkan satu ajaran yang tidak ada paksaan dalam perkara agama,” katanya.

Malah, beliau berkata, masyarakat bukan Islam tidak berdepan masalah untuk bekerjasama dengan masyarakat Islam dalam pelbagai aspek seperti akiviti kebajikan dan pembangunan. Selain itu, Tun Taib berkata, Sarawak turut mempunyai satu pergerakan yang berjaya mengukuhkan toleransi antara pemimpin pelbagai agama dalam mentadbir negeri ini.

Jelasnya lagi, kerjasama masyarakat berbilang kaum di Sarawak amat nyata terutama dalam memajukan negeri ini. Justeru, beliau berharap, masyarakat Islam perlu terus mengukuhkan perpaduan dengan masyarakat berbilang kaum di negeri ini. “Setiap lapisan masyarakat seharusnya tidak mudah terpengaruh dengan budaya masyarakat luar yang bergaduh disebabkan isu kaum dan agama,” ujarnya.

Pada majlis ini, Tun Taib turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM100,000.00 kepada PERKIM Bahagian Sarawak.

Turut hadir pada majlis ini ialah Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Raghad Kurdi Taib, Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Datuk Abang Haji Openg, Ketua Menteri Sarawak berserta isteri Yang Amat Berbahagia Datuk Amar Hajjah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang dan Yang Berhormat Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan, Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak merangkap Timbalan Pengerusi 1 PERKIM Bahagian Sarawak, serta Ahli Parlimen Mukah Dato Hanifah Hajar Taib Alsree dan tetamu kehormat lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here