Abang Jo Rasmi Majlis Pecah Tanah Projek Jambatan Muara Lassa 8 September 2019

0
257
Mesyuarat turut dihadiri oleh wakil pelbagai agensi dan jabatan bagi membincangkan persiapan rapi bagi membolehkan majlis pecah tanah berkenaan berjalan lancar mengikut perancangan

DARO 14 Ogos 2019 (SNN)- Satu mesyuarat Jawatankuasa Persediaan Majlis Pecah Tanah bagi Projek Jambatan Muara Lassa telah diadakan semalam bertempat di Pejabat Daerah Daro. Mesyuarat kedua jawatankuasa persiapan tersebut telah dipengerusikan oleh Menteri Muda Jalan Pesisir Sarawak, YB Datuk Haji Julaihi Haji Narawi. Mesyuarat ini merupakan susulan daripada mesyuarat jawatankuasa pertama pada 13 Julai yang lepas.

Menurut Julaihi, Majlis Pecah Tanah bagi Projek Jambatan Muara Lassa ini dijangka akan disempurnakan oleh YAB Ketua Menteri Sarawak pada 8 September 2019. Jawatankuasa penganjur program membuat persiapan rapi bagi membolehkan program berkenaan berjalan lancar mengikut perancangan. Lebih 6,000 penduduk dijangka hadir memeriahkan majlis pecah tanah tersebut.

“Ini merupakan satu lagi projek kerajaan Sarawak untuk rakyat Sarawak. Kita membuat persediaan rapi selain mendapat laporan yang agak lengkap daripada semua jawatankuasa yang terdiri daripada jabatan dan agensi yang berkaitan di bahagian Mukah,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa penganjur majlis di Pejabat Daerah di sini, hari ini.

Menurut Julaihi, jambatan Muara Lassa sepanjang 2.43 kilometer dijangka siap dalam tempoh 48 bulan dengan kos RM597.58 juta  nanti merupakan pelengkap jalan pesisir sepanjang 896 kilometer di Sarawak.

Julaihi semasa mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Persediaan Majlis Pecah Tanah bagi Projek Jambatan Muara Lassa yang telah diadakan semalam bertempat di Pejabat Daerah Daro

Selain perasmian Jambatan Muara Lassa katanya, jawatankuasa juga menyentuh mengenai majlis pecah tanah untuk Jambatan Batang Paloh yang dijangka diadakan pada awal tahun depan. Jambatan Batang Paloh pula adalah sepanjang 1.7 kilometer membabitkan kos RM298.98 juta dan dijangka siap pada 7 Mei 2023. Kemudahan itu bakal menggantikan perkhidmatan feri dari Serdeng ke Pulau Bruit.

Turut hadir pada mesyuarat tersebut ialah Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, YB Datuk Haji Len Talif Salleh; Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat), YB Haji Abdullah Saidol; ADUN Daro, YB Shafiee Ahmad; ADUN Balingian, YB Takub Arbi; Ahli Parlimen Igan, YB Haji Ahmad Johnie Zawawi; Residen Mukah, Hamdiah Bekir; Timbalan Setiausaha Tetap MIDT, Philip Ng dan wakil-wakil dari jabatan/agensi berkaitan.

Julaihi bersama Len Talif, Ahmad Johnie, Shafiee Ahmad, Abdullah Saidol semasa mesyuarat Jawatankuasa Persediaan Majlis Pecah Tanah bagi Projek Jambatan Muara Lassa
 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here