PUSA, 14 NOVEMBER 2020 (SNN) : Seorang warga emas dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke rumah selepas pergi ke kebunnya di Kampung Semarang, Pusa pada pagi Jumaat semalam.
Menurut Komander Operasi PBK II Nasir Razali, pihak bomba mendapatkan maklumat dan mengesahkannya mengenai kejadian melalui Balai Polis sebelum memulakan operasi mencari dan menyelamat mangsa.
“Mangsa, Rahobah Murni, 75 tahun, dikatakan pergi ke kebunnya berseorangan dan lazimnya akan pulang pada jam 2.00 petang.
“Namun, pada semalam kelibat mangsa tidak kelihatan dan semasa operasi dijalankan penduduk kampung yang turut serta dalam operasi hanya menjumpai bekas makanan di pondok kebun miliknya,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, mangsa turut difahamkan menghidapi masalah kurang pendengaran serta penglihatan.
Setakat hari ini, operasi mencari mangsa masih dijalankan dengan bantuan pihak RELA, polis dan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM).