BINTULU, 31 OKTOBER 2020 (sNN) : Orang awam menjumpai mayat yang sudah reput terapung di tepi Sungai Kemena, Bintulu pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Bintulu Supt Zulkipli Suhaili berkata, penemuan mayat terbabit pada jam 2.30 oleh orang awam yang lalu dikawasan itu sebelum melaporkan kepada pihak berkuasa.
“Sejurus menerima laporan itu, sepasukan anggota polis dengan bantuan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, pihaknya mendapati seorang mayat tanpa identiti dengan memakai pakaian kemeja putih terapung di tepi sungai berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Siasatan awal juga mendapati tiada tanda kecederaan terhadap badan mayat malah suntikan BCG tidak dapat dikesan ekoran tubuh mayat mulai mengelupas dan mengembang.
Sehubungan itu, pihak polis meminta penduduk sekitar yang ada kehilangan ahli keluarga tampil untuk membuat laporan atau menghubungi Balai Polis Bintulu bagi membantu siasatan.