SIBU, 31 Mac 2019 (SNN)- Kampung tradisional Melayu, Kampung Datu akan dibangunkan semula. Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapa’ee telah mengemukakan cadangan pelan induk untuk pembangunan semula Kampung Datu kepada Kerajaan Negeri Sarawak untuk diluluskan.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perjumpaan Semula Penduduk Asal Kampung Datu 2019 di Dewan Kompleks Islam di sini, semalam.
Kira-kira 640 orang telah menghadiri majlis berkenaan. Objektif utama majlis ini adalah untuk mengumpul komuniti asal Kampung Datu, termasuk orang-orang yang berpindah ke luar seperti Kuching, Miri dan Kuala Lumpur.
Dr Annuar dalam ucapannya menekankan cadangan pelan induk untuk pembangunan semula Kampung Datu kepada Kerajaan Negeri untuk diluluskan adalah berpunca daripada keperluan untuk memelihara kampung tradisional Melayu yang penuh bersejarah di bandar Sibu di sini.
Beliau menyatakan bahawa beberapa perkampungan tradisional Melayu iaitu penempatan Melayu yang sangat sedikit di sini tidak lagi wujud kerana mereka telah membuka jalan untuk pembangunan. Kampung-kampung ini adalah Kampung Pulo, Kampung Pulo Berandam, Kampung Pak Sanyut, Kampung Nyabor dan Kampung Tengah, di mana generasi muda mungkin tidak tahu mengenai kewujudan kampung-kampung ini.
“Jadi saya telah mencadangkan pelan induk pembangunan semula untuk Kampung Datu kepada kerajaan negeri yang akan berdasarkan kepada beberapa konsep. Pertama, penduduk Kampung Datu akan mengambil bahagian dalam usaha pembangunan semula yang dicadangkan ini. Kedua, sebahagian besar penduduk Kampung Datu akan tinggal di sana dan akhirnya, kampung tradisional Melayu ini, yang kaya dengan nilai sejarah, akan dibina semula termasuk mempunyai infrastruktur yang lebih baik.
“Butir-butir penuh akan diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Zohari Tun Openg tidak lama lagi,” kata Dr Annuar yang juga Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam. Sehubungan itu, beliau berharap pelan induk yang dicadangkan itu akan dilulus dan dilaksanakan sebaik sahaja Kampung Datu dianggap tidak lagi sesuai untuk didiami kerana struktur rumah sedia ada yang sudah lama.
“Tambahan pula rumah-rumah yang dibina berdekatan ini amat berbahaya jika berlaku kebakaran seperti tragedi yang berlaku pada 20 Jun 2013, di mana 61 lot di Kampung Datu lama dan Kampung Hilir musnah dalam kebakaran yang menyebabkan 143 keluarga kehilangan tempat tinggal,” tambahnya.
Tambahnya, beliau yakin pelan pembangunan semula akan menjana impak ekonomi yang baik untuk penduduk kampung di situ dan kawasan sekitarnya. “Kami mahu memastikan masyarakat asal Kampung Datu mendapat manfaat daripada pembangunan semula di kemudian hari, dan bukan orang lain.”
Beliau berkata cadangan itu akan diterangkan kepada penduduk kampung selepas mendapat kelulusan kerajaan negeri dan pengumuman oleh Ketua Menteri. Dr Annuar juga mendedahkan satu badan khas akan ditubuhkan untuk menjaga kebajikan masyarakat Kampung Datu.