600 Peserta Sertai Samarahan Bike Challenge (SBC) 2019

0
121
Abdul Karim melepaskan 83 orang peserta bagi kategori elit yang menyertai Samarahan Bike Challenge hari ini

Samarahan, 31 Mac 2019 (SNN) – 600 peserta sertai Samarahan Bike Challenge (SBC) 2019 yang memasuki Edisi Keenam pengajurannya kali ini . Penganjuran pada kali ini menyaksikan penyertaan ramai peserta dari dalam dan luar negeri termasuk Kalimantan.

Perasmian Samarahan Bike Challenge (SBC) disempurnakan oleh YB Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak.

Dalam ucapan perasmiannya beliau mengumumkan bahawa gelanggang velodrom akan dibangunkan di perkampungan sukan Petra Jaya bagi membangunkan lagi sukan berbasikal di negeri ini, Namun begitu, projek itu masih di peringkat awal pelaksanaan.

“Untuk menambah baik kualiti sukan berbasikal kita, sudah tentu kita memerlukan sebuah gelanggang berbasikal velodrom. Ketua Menteri juga telah mengetahui mengenainya, saya kira. Tetapi kita masih perlu melakukan perbincangan lanjut mengenainya dan diharap dalam dua tahun ia sudah lengkap butiran untuk diluluskan pembinaannya,”

Abdul Karim berkata sukan berbasikal merupakan satu sukan yang diminati ramai dan sering diselitkan dalam temasya sukan seperti Sukan Sarawak (SUKSA), Sukan Malaysia (SUKMA), Sukan SEA, Olimpik dan Komanwel.  Abdul Karim pada masa yang sama turut menyeru persatuan atau pertubuhan sukan di negeri ini untuk berbincang dengan Perbadanan Sukan Sarawak sebelum mengusulkan cadangan untuk mendapatkan bangunan atau kompleks sukan.

Menurutnya, setiap urusan tersebut perlu mengikut prosedur agar senang untuk dilaksanakan kelak dan sumbangan sukan yang memohon kompleks atau bangunan juga perlu setimpal dengan permohonan pihaknya. “Tetapi kita memberi mengikut keutamaan kepada sukan yang mendapat lebih banyak penyertaan atau peminat atau jika terlibat dalam SUKMA, Sukan SEA, Sukan Olimpik ia akan diberi keutamaan,” jelasnya lagi.

Kerajaan Negeri juga telah meluluskan permohonan untuk membina kompleks sukan ragbi dan kriket dalam perbincangan kabinet baru-baru ini, di mana ia juga akan terletak dalam kawasan kompleks stadium sedia ada.

Kemudahan ia akan disusuli dengan sukan seni mempertahankan diri, wushu yang bakal mewujudkan kompleks dalam kawasan sama. Abdul Karim berkata, sukan wushu banyak menyumbang pingat emas untuk Sarawak dari tahun ke tahun dan untuk itu, wajar mendapatkan bangunan sendiri.

Acara cabaran berbasikal Samarahan 2019 kali ini turut disertai peserta dari Semenanjung Malaysia dan Indonesia, dan akan berakhir hari ini. Ia merupakan penganjuran kali ke-6, dan banyak pengisian lain diadakan termasuk pameran.

Mengakhiri ucapannya beliau berkata acara tersebut diadakan bagi menyemarakkan lagi aktiviti di kalangan masyarakat  Samarahan serta dalam masa yang sama dapat menarik pengunjung bagi membantu melonjakkan ekonomi dan jualan warga setempat.

Turut hadir pada majlis perasmian tersebut ialah YB Puan Hajah Rubiah Binti Haji Wang, Ahli Parlimen P.197 Kota Samarahan dan YB Encik Awla Bin Dris, ADUN N.25 Simunjan.


LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here