UNIMAS Siap Siaga Bantu Kebajikan Warga Universiti

0
786
Berwaspada..pintu keluar masuk UNIMAS diperketatkan kawalan dengan saringan kesihatan seperti pemeriksaan suhu badan dilakukan kepada pelawat

KOTA SAMARAHAN, 20 Mac 2020 (SNN): Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) sentiasa dalam keadaan siap siaga untuk memastikan keselamatan dan kebajikan warga Universiti terutama pelajar yang masih tinggal di dalam kampus UNIMAS diberi perhatian khusus sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

UNIMAS turut mewujudkan satu pasukan khas iaitu UNIMAS COVID-19 task force untuk memantau pengurusan pencegahan COVID-19 secara menyeluruh di UNIMAS.

Ketika ini semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran ditangguhkan semasa tempoh pelanjutan cuti semester (14 Mac 2020 sehingga 31 Mac 2020) dan pembelajaran secara dalam talian dijadualkan bermula pada 1 April 2020, tertakluk kepada keadaan semasa.

Walaupun begitu, UNIMAS tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan pada 16 Mac 2020 yang mana pelajar UNIMAS yang masih berada di kolej atau hostel juga dibenarkan untuk terus menetap di dalam kampus sepanjang perintah ini.

Setakat ini terdapat 2788  pelajar masih tinggal di dalam kolej kediaman yang terdapat di dalam UNIMAS. Pelajar hanya dibenarkan keluar dari jam 11 pagi hingga 2 petang sahaja jika ada keperluan mendesak untuk keluar membeli barang keperluan harian dan mereka perlu segera kembali ke kampus.

Sebagai langkah prihatin dengan pelajar-pelajar yang masih tinggal di dalam kolej kediaman dan hostel, kerajaan Malaysia  turut menyediakan bantuan makanan atau Food Aid sepenuhnya termasuk minum pagi, makan tengahari dan makan malam kepada pelajar-pelajar yang tinggal dalam kolej kediaman sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan.

Bantuan makanan atau Food Aid diberikan kepada pelajar UNIMAS termasuk minum pagi, makan tengahari dan makan malam kepada pelajar-pelajar yang tinggal dalam kolej kediaman sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan.  

Food Aid’ ini boleh digunakan dengan cara mengimbas QR Code di kafeteria masing-masing namun pembelian adalah terhad bagi pembelian makanan atau minuman untuk dibawa balik ke kolej kediaman dan hostel masing-masing sahaja dan pelajar juga diminta mematuhi penjarakan social ketika berurusan di kaunter pembayaran.

Selain itu, UNIMAS memperketatkan kawalan di setiap pintu masuk kampus dan melaksanakan saringan kesihatan dengan memeriksa suhu badan kepada semua warga UNIMAS yang keluar-masuk di dalamkampus.

UNIMAS turut menyediakan ‘UNIMAS Hotline’ yang mengandungi senarai nombor telefon pegawai-pegawai yang boleh dihubungi bagi kemudahan warga UNIMAS terutama pelajar untuk mendapat bantuan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

Staf dan pelajar boleh mendapatkan maklumat terkini, nasihat berkenaan kuarantin, dan khidmat saringan kesihatan daripada Kaunter Khas Khidmat COVID-19 yang terletak di Pusat Kesihatan UNIMAS dan mendapat bantuan sekiranya perlu dari anggota Polis Bantuan Bahagian Keselamatan UNIMAS yang menjalankan tugas.

Salah seorang staf di klinik kesihatan UNIMAS sedang melakukan pemeriksaan suhu badan ke atas salah seorang pelajar.
 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here