Subsidi jemaah haji rayuan dan pengiring dikekalkan

0
711
Pemandangan Kaabah yang penuh sesak semasa musim Haji.

KUALA LUMPUR (SNN) – Subsidi jemaah haji rayuan dan pengiring dikekalkan pada tahun ini sama seperti tahun-tahun yang sebelumnya. Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) semalam mengumumkan akan menanggung semua subsidi bagi jemaah haji muassasah kali pertama termasuk yang membuat rayuan dan jemaah yang mengiring bagi menunaikan haji pada tahun ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof memaklumkan tentang perkara tersebut dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvokesyen Pondok Peringkat Kebangsaan 2019.

Pada 14 Februari lalu, Mujahid mengumumkan bayaran menunaikan haji bagi jemaah haji muassasah yang menunaikan haji kali pertama kekal RM9,980 dengan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM12,920. Kos bagi menunaikan haji tahun ini sebanyak RM22,900 berbanding cuma RM22,450 pada musim lalu.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Mujahid ini sekali gus menamatkan kekeliruan yang timbul sebelum ini yang menyatakan bahawa jemaah rayuan dan pengiring perlu membayar kos penuh untuk menunaikan haji berjumlah RM22,900.

Menurut Mujahid lagi, subsidi ini termasuk mereka yang merayu dalam kategori mahram, pengiring jemaah yang sudah lanjut usia, orang kurang upaya, mualaf dan satu lagi kategori rayuan yang mana tidak mempunyai semua kategori tersebut. Semua kategori ini akan kekal mendapat subsidi, dan ini menjadikan jumlah perbelanjaan atau tanggungan untuk musim haji pada tahun ini adalah berjumlah RM400 juta, iaitu peningkatan sebanyak RM100 juta berbanding pengumuman jumlah kos subsidi sebelum ini sebanyak RM305 juta.

Menurut Mujahid, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk berdasarkan keupayaan dan kedudukan unjuran kewangan Tabung Haji bagi tahun 2019.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here