Seminar di Lawas mendedahkan novel Melayu pertama di dunia diterbitkan di Sarawak pada tahun 1876

0
537
Dato Henry Sum Agong sampaikan ucapan perasmian. Gambar SNN.

LAWAS, 14 November 2019 (SNN) – Seminar Sastera Rakyat dan Bahasa Ibunda Sarawak telah mendedahkan bahawa novel moden Melayu yang pertama di dunia telah dikarang dan dicetak di Kuching, Sarawak pada tahun 1876.  Judul novel ini adalah Hikayat Panglima Nikosa yang dikarang oleh Ahmad Shawal bin Abdul Hamid.  Satu-satunya naskah asal novel ini sekarang terdapat di Oxford University.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Hj. Awang Tengah bin Ali Hasan telah merasmikan Seminar Sastera Rakyat dan Bahasa Ibunda Sarawak pada hari ini.  Beliau berkata pelbagai warisan kebudayaan dan alam adalah unik bukan sahaja di negeri dan negara tetapi juga di peringkat dunia.  Daerah Lawas yang didampingi oleh tiga buah negara jiran Brunei Darussalam, Indonesia dan juga Philippines memiliki peluang untuk menarik peminat dan pelancongan kebudayaan dan alam.

AWANG TENGAH DIWAKILI HENRY AGONG

Awang Tengah telah diwakili oleh Dato Henry Sum Agung, Ahli Parlimen Lawas untuk merasmikan seminar tersebut yang dilangsungkan sepanjang hari.  Dalam ucapan tersebut beliau menegaskan agar warisan sastera rakyat dan bahasa ibunda suku etnik dipelihara.  Sesungguhnya etnik Melayu Brunei dan Lun Bawang hanya terdapat di Daerah Lawas.

Awang Azman bentang kertas kerja. Gambar SNN

Turut hadir dalam seminar ini adalah Datu Dr. Hj. Sanib bin Hj. Said, seorang sejarawan Sarawak dan Pengurus Besar, Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak; En. A. Wahab Hamzah, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak dan Pengarah Bahagian Penyelidikan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia (DBP). Antara pembentang kertas kerja adalah Profesor Madya Dr. Awang Azman bin Awang Pawi, Timbalan Pengarah, Akademi Melayu Universiti Malaya; Dr. Abang Padeli bin Abang Muhi, Pengarah Bahagian Penerbitan DBP; En. Ipoi Datan, mantan Pengarah Jabatan Muzium Sarawak.  Seramai lebih dari seratus orang menyertai seminar ini termasuk dari DBP Brunei Darussalam dan juga dari Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam.

HIKAYAT PANGLIMA NIKOSA

Datu Dr. Hj. Sanib telah menyampaikan Ucap Utama dengan tajuk, “Sastera Rakyat dan Bahasa Ibunda Sarawak:  Dikotomi Pengalaman Sejarah Kalangan Etnik,”  Beliau berpendapat wujud dikotomi ini disebabkan oleh terdapat masyarakat civilizational dan masyarakat tribal.  Melayu Sarawak-Brunei merupakan masyarakat civilizaitonal yang merupakan masyarakat scriptorium yang telah mencipta sistem tulisan tersendiri untuk menulis tradisi lisan mereka yang dilestarikan dalam bentuk manuskrip.  Antara karya sumbangan masyarakat Melayu Sarawak-Brunei adalah novel moden Melayu pertama di dunia yang telah dikarang dan dicetak oleh Ahmad Shawal bin Abdul Hamid pada tahun 1876.

Sanib (tengah) bersama peserta dari Universiti Brunei Darussalam. Gambar SNN

Sehubungan itu, masyarakat Melayu Sarawak-Brunei mewarisi sastera, kebudayaan dan sejarah dalam bentuk manuskrip.  Walaupun telah ada usaha yang berjaya mengumpulkan manuskrip tulisan Jawi Melayu namun dipercayai masih ada lagi yang belum dijumpai atau belum disedari oleh penyelidik dan masyarakat sendiri.  Antara penemuan manuskrip baharu adalah “Syair Datuk Merpati Negeri Santubong” dan “Syair Tarsilah Cetera Abangu Gudam Dangan Temenggong Kadir Negeri Saribas.”.  Penemuan ini telah dibincangkan dalam Ucap Utama seminar ini.

RAKAMAN TRADISI LISAN

Sebahagian daripada peserta seminar. Gamabr SNN

Masyarakat tribal yang belum memiliki skrip sistem tulisan masih banyak sastera rakyat bersifat tradisi lisan yang warisi oleh golongan tua.  Mereka lebih banyak membuat rakaman lisan dan seterusnya melakukan transkripsi.  Terdapat beberapa jabatan kerajaan di Sarawak telah dan masih menjalankan rakaman tradisi lisan seperti Jabatan Muzium Sarawak, Majiis Adat Istiadat Sarawak dan Yayasan Tun Jugah.Beberapa orang peserta seminar ini mengatakan bahawa seminar ini sangat bernas.  Mereka telah mendapat beberapa pandangan dan fakta yang baharu.  Ada yang berkata pemakalah sepatutnya diberikan masa yang lebih untuk membentangkan hasil kajian dan pandangan mereka.  Di samping itu masa untuk soal-jawab tidak mencukupi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here