Rakyat Letak Harapan Tinggi Siapnya Pembinaan Jalan Pesisir dan Jalan Utama Kedua Sarawak.

0
369
Julaihi bergambar kenangan bersama tetamu jemputan dan penerima anugerah di Majlis Makan Malam sempena Persidangan Jurutera-Jurutera Bahagian Ke-21 bertempat di Imperial Hotel, Kuching

Kuching. 15 November 2019 (SNN) : Persidangan Jurutera-Jurutera Bahagian Ke-21 bertempat di Imperial Hotel, Kuching pada 14 November 2019. Bertemakan “Rural Transformation through Operational Excellence by Digitalized Engineering, Safety and Innovative Engineering”. 

Persidangan Jurutera-Jurutera Bahagian ke-21 pada kali ini merupakan julungkali dianjur oleh JKR Bahagian Serian semenjak Serian diisytiharkan secara rasmi sebagai bahagian ke-12 di Sarawak. Persidangan ini diadakan pada setiap tahun oleh pihak Pengurusan Tertinggi di Ibu Pejabat dan pihak Jurutera-Jurutera Bahagian bagi memberi ruang membincangkan isu-isu atau resolusi dalam mencapai matlamat bersama bagi mempertingkatkan mutu penyampaian perkhidmatan jabatan dalam merealisasikan agenda pembangunan Negeri Sarawak dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, tersusun dan sistematik.

Sempena persidangan ini, turut diadakan Majlis Makan Malam bersama YB Datuk Haji Julaihi bin Haji Narawi, Menteri Muda Pembangunan Pelabuhan dan Infrastruktur, beliau hadir bagi mewakili YB Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing, Timbalan Ketua Menteri Sarawak dan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan. Dalam majlis tersebut, beliau yang diiringi oleh YBhg. Datu Haji Safri bin Haji Zainudin, Setiausaha Tetap, Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan bersama YBhg. Datu Ir. Haji Zuraimi Bin Haji Sabki, Pengarah Kerja Raya Sarawak.

Turut diadakan sempena majlis tersebut, penyampaian sijil penghargaan kepada syarikat kontraktor terbaik JKR serian tahun 2018 dan Penyampaian Sijil Penghargaan kepada pesara-pesara di zon selatan tahun 2019 dan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) tahun 2018

Julaihi dalam ucapannya menyentuh berkenaan pembinaan Jalan Pesisir dan Jalan Utama Kedua di Sarawak. Menurut Julaihi pembinaan jalan-jalan  ini ternyata mencabar keupayaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dalam usaha menyiapkannya mengikut jadual. Beliau berkata,  rakyat sudah pasti meletakkan harapan yang tinggi agar dua projek yang menelan kos RM11 bilion itu siap mengikut jadual dan akan memberi kemudahan kepada mereka.

“Kita tidak menghadapi masalah sumber kewangan dari kapasiti RM11 bilion untuk melaksanakanya. Cuma persoalan ialah kebolehan kita untuk melaksanakannya kedua-dua projek berkenaan dan ia merupakan cabaran besar,” katanya berucap pada Majlis Makan Malam Persidangan Jurutera Bahagian Ke-21 di sini, malam tadi.

Beliau berkata JKR Sarawak diberi kepercayaan oleh kementerian bukan sahaja mampu melaksanakan projek diberikan tetapi mencapai jangkaan rakyat terhadap projek mereka.

Bagaimanapun katanya, hasil daripada program turun padang termasuk pecah tanah pembinaan jambatan di jalan pesisir, inisiatif pelaksanaan projek mega berkenaan mendapat sambutan amat baik masyarakat setempat.

“Ia sesuatu yang mengembirakan apabila kita mengadakan majlis pecah tanah khasnya pembinaan jambatan di jalan pesisir, kita melihat kehadiran masyarakat setempat yang menggalakan. Ini menggambarkan betapa rakyat kita di luar bandar dan jalan pesisir mengalu-alukan usaha kita melakasanakan projek ini,” katanya.

Menurut beliau, malahan ada di antara rakyat menganggap jalan pesisir dan jalan kedua utama yang dibina sebagai alternatif terbaik kepada Lebuh Raya Pan Borneo yang sedang dibina.

“Namun kita tidak lupa juga bahawa lebuh raya Pan Borneo juga sebahagian daripada tugas diamanahkan kepada kita. Kita akan terus bekerjasama dengan semua pihak dalam melaksanakan projek pembangunan rakyat,” kata Julaihi.

Turut diadakan sempena majlis tersebut, penyampaian sijil penghargaan kepada syarikat kontraktor terbaik JKR serian tahun 2018 dan Penyampaian Sijil Penghargaan kepada pesara-pesara di zon selatan tahun 2019 dan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) tahun 2018.

Turut sama hadir, Encik Sudin Bin Jaya, Timbalan Pengarah (Hal Ehwal Korporat), Encik Chiew Chee Yau, Timbalan Pengarah (Infrastruktur), Puan Siti Nurainawati Binti Aini, Timbalan Pengarah (Bangunan dan Pakar), Ir. Christopher Ak. George, Jurutera Bahagian, JKR Bahagian Serian selaku Penganjur Majlis Persidangan Jurutera-Jurutera Bahagian Ke-21.

Julaihi semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Makan Malam sempena Persidangan Jurutera-Jurutera Bahagian Ke-21 bertempat di Imperial Hotel, Kuching.
Antara yang hadir pada Majlis Makan Malam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here