Projek Jambatan Kuala Kemena Bintulu Bernilai RM467 Juta Dibiayai Kerajaan Sarawak

0
383
Abang Jo bersama menteri kabinet negeri semasa Majlis Pecah Tanah Jambatan Kuala Kemena Jepak Bintulu semalam

BINTULU, 23 Julai 2019 (SNN)– Projek pembinaan jambatan Kuala Kemena empat lorong dua hala menyeberangi Batang Kemena menelan kos sebanyak RM467 juta bakal dibiayai oleh kerajaan Sarawak. Kontrak pembinaan jambatan bernilai RM467 juta ini dianugerahkan kepada PPES-CCCC JV dan simbolik penyerahan Surat Setuju Terima Projek dilakukan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg dalam majlis petang semalam. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Datuk Haji Julaihi Bin Haji Narawi, selaku Pengerusi Pengelola majlis tersebut merangkap Menteri Muda Jalan Pesisir Pantai Sarawak.

Majlis Pecah Tanah Jambatan Kuala Kemena Jepak Bintulu semalam merupakan majlis pecah tanah yang kedua selepas majlis pecah tanah yang pertama bagi rangkaian jalan pesisir dari Jalan Pasi Sarikei menuju Tanjung Manis Mukah dan Jambatan Batang Rajang Sarikei pada 6 April 2019 yang lalu yang turut disempurnakan oleh YAB Ketua Menteri.

“Majlis ini penting kerana ianya menandakan bermulanya kerja-kerja pembinaan jambatan Kuala Kemena Jepak Bintulu.  Ia bukan setakat majlis pecah tanah sahaja tetapi bermulanya kerja-kerja pembinaan sehingga jambatan ini siap dalam masa 48 bulan yang akan datang”, ujar Julaihi.

Menurut Julaihi, pembinaan Jambatan Kuala Kemena ini adalah usaha berterusan yang dirancang dan dibina oleh Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Abang Jo dan seluruh kepimpinan Kerajaan GPS Sarawak yang ada pada hari ini. Jambatan Kuala Kemena Jepak menyeberangi Kuala Kemena ke Bandar Bintulu merupakan satu lagi rangkaian jalan pesisir yang diusaha dan dibina oleh Kerajaan Sarawak. Jambatan yang reka bentuknya berupa “cable stayed” mempunyai empat lorong yang akan memendekkan jarak perjalanan dari lapangan terbang Bintulu ke Bandar Bintulu dari lebih 20 kilometer kepada lebih 6 kilometer sahaja. Maknanya kita ada jimat 14 kilometer, tambah Julaihi lagi.

Simbolik penyerahan Surat Setuju Terima Projek dilakukan oleh Abang Jo kepada kepada PPES-CCCC JV bagi kontrak pembinaan jambatan bernilai RM467 juta

Jambatan Kuala Kemena, Jepak Bintulu ini merupakan salah satu daripada pelengkap kepada rangkaian jalan pesisir (keseluruhan jalan pesisir yang panjangnya 896 km dari selatan hingga ke utara) yang ada pada masa sekarang dan seterusnya jambatan ini dijangka boleh membuka ruang dan memberi nafas baru malah menjadi nadi kepada pembangunan seluruh kawasan pesisir dari selatan hingga ke utara Sarawak khususnya di Bahagian Bintulu. Malahan kesan pembinaan jambatan ini akan dirasakan di seluruh Sarawak, tambahnya.

Pembinaan 4 lorong dua hala ini akan merentangi Batang Kemena lengkap dengan “flyover” meliputi lalulintas di persimpangan Jalan Tun Ahmad Zaidi / Jalan Tun Razak / Jalan Abang Galau. Menggunakan Teknologi Cable Stayed Bridge, akan dibina lengkap dengan struktur perparitan, pemasangan lampu jalan dan kelengkapan jalan. Tempoh siap pula adalah selama 48 bulan, dan jambatan Kuala Kemena Jepak, Bintulu ini bakal menjadi jambatan ikonik dan mempunyai tarikannya tersendiri.

Mengakhiri ucapannya, Julaihi mewakili pihak Jawatankuasa Pengelola mengucapkan ribuan terima kasih kepada Abang Johari kerana dapat meluangkan masa untuk menyempurnakan majlis pecah tanah Jambatan Kuala Kemena Jepak Bintulu. Juga ucapan terima kasih kepada tetamu yang hadir, rakan-rakan media dan rakan-rakan ahli jawatankuasa pengelola yang bertungkus lumus membuat persediaan untuk membolehkan majlis tersebut berjalan dengan lancar.

Hadir bersama, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing, serta menteri-menteri kabinet negeri. Sumber- JN

Julaihi Narawi sewaktu menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Pecah Tanah Jambatan Kuala Kemena Jepak Bintulu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here