Projek Hidro Mikro CREN UNIMAS Bantu Tingkatkan Sosio-Ekonomi Penduduk Kpg Assum

0
399
Penduduk Kampung Assum bersama-sama dengan Naib Canselor UNIMAS, para penyelidik CREN UNIMAS, wakil dari MESTECC bergambar kenang-kenangan selepas penyerahan projek hidro mikro, pagi tadi.

KOTA SAMARAHAN, 20 Februari 2020 (SNN): Majlis Penyerahan Projek Hidro Mikro Kampung Assum di Pedawan, telah berjaya disempurnakan oleh Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi, di Dewan Kampung Assum, pagi tadi.

Majlis bersejarah tersebut turut disaksikan oleh Setiausaha Bahagian Kewangan, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Puan Nur Azlin Muhamad Awal; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr Wan Hashim Wan Ibrahim; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Kamarudin Kana; Dekan Fakulti Kejuruteraan, Profesor Madya Ir Dr Siti Noor Linda Haji Taib; Pengarah CREN, Ir Dr Hazrul Mohamed Basri, Ketua Kaum Kampung Assum, Encik Siang ak Sayod, penyelidikan-penyelidik UNIMAS dan penduduk kampung Assum.

Dalam ucapan ringkas, Naib Canselor mengucapkan tahniah kepada para penyelidik Pusat Tenaga Boleh Diperbaharui (CREN) kerana menjayakan projek hidro mikro dan juga ucapan terima kasih kepada MESTECC kerana membiayai sepenuhnya projek berkenaan.

Beliau berkata, sesungguhnya UNIMAS akan terus bekerjasama dengan jabatan-jabatan kerajaan dalam usaha memenuhi dan menyediakan kemudahan asas yang mencukupi, berkualiti dan selesa bagi seluruh penduduk di kawasan bandar dan luar bandar di negeri ini.

“Sebagai sebuah universiti awam di Sarawak, UNIMAS sentiasa prihatin dengan perkembangan dan keperluan penduduk Sarawak terutamanya di luar bandar. Kita amat berharap projek ini akan memberi manfaat kepada penduduk di Kampung Assum terutama berkaitan kualiti hidup dan sosio-ekonomi penduduk kampung dan persekitarannya,” katanya.

Dalam pada itu, projek Hidro Mikro Kampung Assum yang bermula sejak tahun 2013 dan siap sepenuhnya pada 2016 merupakan salah satu daripada beberapa projek CREN yang dilaksanakan untuk membantu komuniti luar bandar mendapat bekalan elektrik asas yang murah dan berterusan untuk keperluan seharian penduduk kampung.

Berdasarkan “UNIMAS Micro Hydro Community Based Framework” yang dipelopori oleh CREN dan juga komitmen penduduk kampung yang sangat menggalakkan, projek hidro mikro 15 kW telah dilaksanakan melibatkan pembinaan kawasan tadahan air, alat-alat elektro-mekanikal seperti turbine dan generator, transmisi voltan rendah dan jaringan penghataran elektrik.

Kini, penduduk kampung telah mempunyai dua (2) sumber tenaga elektrik iaitu daripada hidro dan juga bekalan daripada SEB melalui grid. Penjanaan tenaga elektrik percuma ini berjaya merangsang aktiviti sosio-ekonomi masyarakat setempat.

Meskipun projek ini belum dapat membekalkan elektrik  dari kuasa hidro ke rumah-rumah penduduk kampung Assum namun setakat ini bekalan elektrik ini dapat dibekalkan ke Dewan Kampung Assum bagi kegunaan asas penduduk seperti lampu, kipas angin, peti ais berkuasa rendah, televisyen, radio serta  keggunaan penduduk kampung untuk penghasilan produk makanan tempatan seperti pemprosesan keropok ubi kayu, keropok  pisang dan lain-lain.

Selain itu, projek ini juga berjaya memenangi dua anugerah iaitu Anugerah “Renewable Energy for off-grid” di Majlis Mesyuarat Tenaga Menteri-Menteri Asean ke-37 pada tahun 2019 di Bangkok dan juga Anugerah Tenaga Kebangsaan 2019 di Kuala Lumpur.

Bagi mengekalkan kemampanan sistem Hidro Mikro ini, satu jawatankuasa khas yang dianggotai oleh penduduk kampung telah ditubuhkan dan diharapkan dapat menjalankan tanggungjawab dan peranan masing-masing  melalui aktiviti pemantauan dan penyelenggaraan yang sistematik dan terancang.

Dengan melibatkan pihak komuniti dalam proses pelaksanaan projek, UNIMAS yakin sistem ini mampu membekalkan elektrik dalam jangka masa yang panjang dan sosio-ekonomi penduduk kampung dapat ditingkatkan lagi.

Dalam pada itu,  CREN telah ditubuhkan pada tahun 2009 di bawah Fakulti Kejuruteraan, UNIMAS dengan bermatlamat untuk mengalakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan dalam bidang tenaga lestari dan teknologi mampan.

Ia juga sebagai strategi UNIMAS untuk menyokong kegiatan penyelidikan dan pembangunan berlandaskan bidang-bidang khusus seperti Biodiversity & Environmental Conservation, Sustainable Community Transformation, dan Information, Communication and Creative Technology.

CREN juga komited membantu serta merangka beberapa program sosio-ekonomi untuk menggalakkan penduduk kampung menceburi bidang perniagaan berasaskan hasil pertanian sekaligus meningkatkan sosioekonomi penduduk kampung melalui bekalan elektrik yang sedia ada.

(Dari kiri) Profesor Dr Kamarudin Kana, Ir Dr Hazrul Mohamed Basri, Profesor Dr Wan Hashim Wan Ibrahim, Encik Siang ak Sayod, Puan Nur Azlin Muhamad Awal, Profesor Madya Ir Dr Siti Noor Linda menyaksikan Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi (tengah) menurunkan tandatangan ke atas plak penyerahan projek hidro mikro Kampung Assum, Padawan. 
 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here