Program SisKA Bantu Murid Asrama SK Abg Leman, Kabong

0
766
Mohd Chee Kadir bersama tetamu yang hadir pada pelancaran Program Sistem Keluarga Asrama (SisKA)

KABONG ,18 Mac 2019 (SNN)- Program Sistem Keluarga Asrama (SisKA) dijangka dapat membantu murid asrama di SK Abg Leman, Kabong untuk hidup dalam suasana yang lebih kondusif dan terurus. Yang Berhormat Encik Mohd. Chee Kadir, ADUN N.40 Kabong hari ini menghadiri Majlis Pelancaran Program SisKA Peringkat SK Abang Leman, bertempat di SK Abg Leman, Kabong.  

SisKA merupakan penjenamaan semula terhadap Program Homeroom (MRSM), Mentor Mentee (KPM), dan Sistem Rumah (SBP) yang telah dilaksanakan  di asrama-asrama harian di bawah transformasi asrama harian yang mana telah disemak dan dibuat penambahbaikan untuk memberi impak yang lebih berkesan khususnya kepada sahsiah murid asrama.

Matlamat Program SisKA adalah menjadikan asrama sebagai institusi keluarga yang menjamin kemenjadian murid. Program ini merupakan inisiatif dalam Transformasi Asrama Harian (2013-2020 ). Melalui SisKA penekanan diberikan kepada konsep keluarga ( In Loco Parentis ), di mana guru penasihat akan berperanan sebagai ibubapa di asrama dalam memberi tumpuan terhadap perkembangan dan pembangunan diri murid.

Menurut Mohd Chee Kadir dalam ucapannya, murid-murid yang tinggal di asrama menghabiskan lebih kurang 70% masa mereka di asrama dan sekolah berbanding di rumah bersama ibu bapa masing-masing. Waktu yang terhad bersama keluarga dan ibu bapa ini menyebabkan mereka kurang perhatian daripada keluarga semasa berada di asrama, yang mana hanya dijaga dan di bawah perhatian warden asrama. 

Mohd Chee Kadir semasa meyampaikan ucapan perasmian

Nisbah warden asrama , seorang warden untuk 50 orang murid  (1:50) merupakan nisbah yang agak mustahil untuk seorang warden memberikan tumpuan yang lebih kepada setiap orang murid. Justeru atas faktor ini pihak Kementerian Pendidikan Malaysia, khasnya Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH ) telah melaksanakan Sistem Keluarga Asrama yang dikenali sebagai SisKA untuk membantu murid-murid ini dari segi perhatian dan kasih sayang semasa mereka berada di asrama dengan nisbah Program Siska di asrama adalah seorang guru 15 murid (1:15).

Mohd Chee Kadir juga  berharap semoga dengan terlaksananya Sistem Keluarga Asrama (SisKA) ini akan dapat membantu pihak sekolah dalam menguruskan asrama masing-masing dengan lebih baik. Malahan beliau berharap para guru yang dilantik sebagai pembimbing SisKA akan dapat memberikan sedikit perhatian kepada murid asrama dan menerapkan sikap ambil peduli di kalangan guru-guru lain terhadap pembangunan dan kebajikan murid di asrama.

Pada majlis berkenaan, Mohd Chee Kadir turut menyampaikan peruntukan kepada Majlis Guru Besar Daerah Saratok dan  Majlis Guru Besar Zon Kabong masing-masing berjumlah RM10,000.

Mohd Chee Kadir yang hadir bersama isteri beliau kemudiannya di bawa melawat ke sekitar asrama kediaman murid di bawah perlaksanaan SisKA ini. Semoga dengan adanya inisiatif sebegini dapat membantu anak-anak kita tinggal di asrama dalam suasana yang lebih kondusif, selesa dan terurus.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here