Program Kemasyarakatan UNIMAS Bersama Pelajar Antarabangsa Shaoxing

0
126
Staf UNIMAS merakamkan kenangan bersama pelajar-pelajar Shaoxing University Yuanpei College, China.

Kota Samarahan, 9 Ogos 2019 (SNN)-  Seramai 15 orang pelajar antarabangsa daripada Shaoxing University Yuanpei College, China dan staf daripada UNIMAS Global bersama pelajar UNIMAS telah menyertai projek kemasyarakatan {Community Social Responsibility (CSR)} di SK Kampung Senari, Petra Jaya semalam. Antara sumbangan dalam projek ini termasuk menaiktaraf galeri sekolah, sumbangan barangan peralatan elektrik, mengadakan aktiviti dan ceramah motivasi oleh pelajar UNIMAS kepada pelajar-pelajar Tahun 4 dan 5, membaikpulih papan tanda sekolah dan banyak lagi.

Projek ini merupakan anjuran UNIMAS Global menerusi Summer Program atau program musim panas dengan tujuan menggalakkan pelajar dan staf berkhidmat kepada masyarakat.

Pelajar Shaoxing University Yuanpei ini merupakan kumpulan kedua yang menyertai Summer Program 2019 anjuran UNIMAS.

Menurut Azlan Ramli, Pengarah UNIMAS Global, objektif penganjuran Projek CSR ini ialah memupuk perasaan muhibah dalam kalangan staf dan pelajar UNIMAS dan juga pelajar antarabangsa daripada universiti luar negara. Selain itu, ia merupakan salah satu peranan dan sumbangan UNIMAS dalam pembangunan komuniti di Bumi Kenyalang. Pada masa yang sama universiti ini melihat peluang untuk berkolaborasi bersama agensi luar untuk mengusahakan pembangunan intervensi strategik kepada masyarakat terutamanya aspek pendidikan dan pembangunan komuniti.

Aktiviti membancuh simen di SK Kampung Senari, Petra Jaya.
Persembahan tarian dari pelajar-pelajar Shaoxing University Yuanpei College, China bersama murid-murid sekolah SK Kampung Senari.  

Projek ini juga turut mengendalikan sesi motivasi kepada pelajar SK Kampung Senari supaya tidak berputus asa untuk mencapai kejayaan dan matlamat hidup. Aktiviti ini  bukan sahaja sekadar menyerahkan sumbangan malah memupuk masyarakat prihatin dan penyayang dalam kalangan staf dan pelajar UNIMAS, pelajar universiti antarabangsa serta warga SK Kampung Senari.

Sebahagian aktiviti semalam ialah membaikpulih papan tanda sekolah SK Senari menggunakan simen ferro dan juga sumbangan barang barang elektrik.

Sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Haji Azlan Ramli, Pengarah UNIMAS Global, kepada Guru Besar Sk Kampung Senari Pn Hajjah Hamdiah Bt Hj Mat disaksikan oleh Cik Suzy daripada Shaoxing University Yuanpei College China serta warga SK Kampung Senari dan staf UNIMAS Global.

UNIMAS akan terus aktif menjadi penghubung antara masyarakat dan industri dengan menganjurkan lebih banyak lagi  aktiviti kemasyarakatan untuk membantu meningkatkan kualiti hidup masyarakat serta membentuk sebuah komuniti mapan yang berupaya menyumbang kepada pembangunan negara khasnya di Sarawak sendiri.

Segelintir pelajar-pelajar Shaoxing University Yuanpei College, China sedang membancuh adunan simen
Agihan minuman milo daripada pengetua sekolah & salah seorang staf UNIMAS kepada murid-murid. 
Persembahan daripada pelajar-pelajar Shaoxing University Yuanpei College, China.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here