PKP Dilanjutkan Sehingga 14 April 2020 – PM

0
503
Dua kematian hari ini direkodkan di Hospital Umum Kuching dan Hospital Miri

KUALA LUMPUR, 25 Mac 2020 (SNN): Kerajaan mengambil keputusan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 14 April ini susulan kes positif COVID-19 masih berlaku, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, keputusan perlanjutan itu dimaklumkan lebih awal bagi memberi ruang kepada rakyat untuk membuat persediaan awal. “Saya diberikan taklimat oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara, pola semasa menunjukkan kes positif COVID-19 yang baharu masih berlaku.

“Pola ini dijangka akan berterusan untuk beberapa ketika sebelum kes-kes baharu mula menurun. Ini menuntut kerajaan untuk meneruskan PKP bagi satu tempoh yang lebih lama,” katanya dalam perutusan khas, hari ini.

Muhyiddin berkata, tempoh lanjutan kuat kuasa PKP akan dikaji dari semasa ke semasa. Perdana Menteri berkata, sebarang keperluan untuk melanjutkan tempoh PKP itu, yang setakat ini dijadual berakhir pada 14 April akan diumumkan kemudian.

“Yang penting, saya mohon supaya saudara saudari sentiasa bersedia untuk duduk lebih lama di rumah. Saya juga mengarahkan semua kementerian untuk membuat persiapan yang rapi bagi mengurus keperluan asas anda sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa.

“Paling penting, semua keperluan asas mestilah sentiasa tersedia dan mencukupi, termasuk bekalan makanan, elektrik serta air. Perkhidmatan kutipan sampah dan pembetungan, kemudahan komunikasi serta logistik, keselamatan dan ketenteraman awam juga termasuk dalam aspek ini,” katanya.

Mengulas mengenai status PKP setakat ini, Perdana Menteri berkata, masuk hari kelapan perintah itu berkuat kuasa tahap pematuhan mencapai 95 peratus. Jalan-jalan raya lengang, pusat-pusat beli belah ditutup, pusat-pusat rekreasi awam juga lengang dan ramai yang telah mematuhi nasihat duduk diam-diam di rumah.

Hanya ada beberapa insiden kecil pelanggaran perintah ini di sana-sini. Pihak polis dan tentera telah dikerah untuk mengambil tindakan tegas bagi mengawal keadaan. Ini termasuk menutup tempat-tempat awam yang masih dikunjungi oleh ramai orang dan menahan individu-individu yang ingkar.

Tindakan tegas terpaksa diambil oleh pihak berkuasa demi memastikan perintah larangan pergerakan ini dipatuhi dan tindakan ini mencapai hasil yang dihasratkan, iaitu membendung penularan wabak COVID-19.

Muhyiddin berkata, penularan kes COVID-19 menunjukkan peningkatan. Daripada kes pertama jangkitan COVID-19 dikesan, hingga jam 12 tengah hari ini jumlah kes positif telah meningkat kepada 1,796 kes, iaitu penambahan 172 kes baharu pada hari ini.

Tujuh hari yang lalu, jumlah keseluruhan kes COVID-19 ialah 673 kes. Ini bermakna, kes positif COVID-19 telah meningkat lebih sekali ganda dalam tempoh hanya satu minggu.

Dalam perkembangan yang sama di Sarawak, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata tugas-tugas penguatkuasaan akan diteruskan dalam usaha membendung penularan virus COVID-19. Sarawak mencatatkan kira-kira 92 peratus pematuhan PKP, apabila jumlah orang awam dan bilangan kenderaan yang keluar semakin berkurangan.

“Kita akur dengan keputusan kerajaan dan akan teruskan tugas-tugas penguatkuasaan PKP ini dengan lebih ketat lagi. Harapan kita agar masyarakat faham akan matlamat kerajaan dan patuhilah perintah kawalan ini sepenuhnya,” katanya.

Justeru beliau berharap agar masyarakat di negeri ini akan terus memberikan kerjasama dalam menghentikan rangkaian COVID-19 ini.

Sumber : BH, Astro Awani

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here