Persidangan Meja Bulat PPPU UNIMAS Bersama Sekolah-Sekolah Menengah Sarawak 2019

0
842
Para peserta bergambar kenangan bersama tetamu-tetamu kehormat serta staf-staf UNIMAS pada Persidangan Meja Bulat PPPU UNIMAS bersama Sekolah-Sekolah Menengah Sarawak 2019 yang telah diadakan di Riverside Majestic Hotel Astana Wing, Kuching.

KOTA SAMARAHAN, 4 Disember 2019 (SNN): Pusat Pengajian Pra-Universiti (PPPU) UNIMAS dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak telah berjaya menganjurkan Persidangan Meja Bulat Pusat Pengajian Pra-Universiti bersama Sekolah-Sekolah Menengah Sarawak 2019 dengan perasmian persidangan berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UNIMAS, Profesor Dr Ahmad Hata Rasit di sebuah hotel terkemuka di bandaraya Kuching kelmarin.

Lebih 20 buah sekolah menghantar wakil terdiri dari para Pengetua-pengetua, Guru-guru bimbingan dan kaunseling di dalam persidangan yang diadakan selama satu hari yang turut menyaksikan penerangan Sistem Kemasukan UPU oleh Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA), Encik Wahi bin Nordin dan pembentangan program dan syarat kemasukan PPPU UNIMAS oleh Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah PPPU UNIMAS, Encik Dhana Jay al Raja Gopal.

Dalam ucapan perasmian, Profesor Dr Ahmad Hata memberitahu UNIMAS melihat persidangan ini antara lain meningkatkan kecekapan sistem penyampaian melalui agenda kolaborasi kreatif dan sistematik serta melancarkan capaian informasi kriteria kemasukan Program PPPU UNIMAS di mana kumpulan sasaran adalah pelajar di peringkat sekolah menengah dalam bidang keutamaan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

“UNIMAS melihat agenda perkongsian maklumat seumpama ini merupakan antara mode dan kaedah terbaik dalam peranan UNIMAS sebagai institusi Pendidikan tinggi awam di Sarawak. Persidangan ini akan menjadi platform yang paling sesuai untuk program pertukaran maklumat dan penambahbaikan isu-isu ternikal persediaan pelajar dan penawaran program pengajian pra-universiti UNIMAS,” sambungnya lagi.

Profesor Dr Hata menambah, persidangan tersebut juga sejajar dengan hasrat kerajaan terutama Kementerian Pendidikan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 iaitu pembangunan Pendidikan yang bersifat inovasi, kualiti, keberhasilan dan inklusif.

Justeru, jelas beliau, inovasi penganjuran persidangan yang berkualiti seumpama ini diharap akan dapat memberikan keberhasilan yang positif melibatkan kolaborasi universiti dan sekolah secara inklusif.

Katanya lagi, UNIMAS akan terus mendorong dan memacu seluruh pemegang taruhnya dalam pelbagai aspek dan strategi seperti contoh menerusi PPPU UNIMAS akan menyediakan akses maklumat tentang pengajian tinggi peringkat pra-universiti dalam bidang keutamaan STEM.

“Menerusi PPPU UNIMAS, kita akan menyediakan akses outreach kepada komuniti dan masyarakat seperti persidangan yang diadakan pada hari ini. Namun, akses yang direncanakan ini tidaklah hanya terhad kepada persediaan dan penawaran program pengajian semata-mata, tetapi turut mencakupi galakan dan sokongan pemajuan ilmu yang juga merupakan agenda pembentukan nilai masyarakat yang perlu turut diamati oleh setiap golongan,” jelasnya lagi.

Beliau berharap dengan adanya perkongsian maklumat dan pemajuan ilmu seperti persidangan tersebut, dapat mengukuhkan jaringan kerjasama penyampaian kepada kumpulan sasar iaitu pelajar-pelajar sekolah masing-masing serta maklumat yang jelas serta informasi teknikal yang diberikan dapat membantu memudah dan melancarkan persediaan pelajar bagi tujuan permohononan program pengajian kelak.

Profesor Dr Ahmad Hata Rasit (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Encik Wahi bin Nordin (kiri) sempena Persidangan Meja Bulat PPPU UNIMAS bersama Sekolah-Sekolah Menengah Sarawak 2019.
Para peserta sedang fokus mendengar pembentangan yang disampaikan. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here