Penduduk di DUN Sebuyau Terima Bantuan Makanan

0
768
Kakitangan Pusat Khidmat Sebuyau dengan kerjasama para petugas dari Cawangan dan Ranting PBB/GPS, JKKK serta Jawatankuasa Masjid dan Surau bertungkus lumus menyediakan barangan makanan yang akan diagihkan kepada penduduk

SEBUYAU, 6 April 2020 (SNN) : Menyedari kepayahan hidup yang dihadapi masyarakat setempat disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi yang diwakili Pusat Khidmat DUN Sebuyau telah menyampaikan bantuan bekalan makanan asas (food baskets) dan keperluan lain kepada penduduk kawasan berkenaan iaitu ke setiap kampung dan rumah panjang di kawasan DUN Sebuyau.

Dianggarkan seramai 3,200 keluarga di kawasan Sebuyau menerima bantuan yang diagihkan secara serentak pada Sabtu lepas. Bantuan makanan itu telah ditempatkan di Dewan Kampung Sampat, Sebangan dan dikendalikan oleh petugas Pusat Khidmat DUN Sebuyau.

Kakitangan Pusat Khidmat Sebuyau dengan kerjasama para petugas dari Cawangan dan Ranting PBB/GPS, JKKK serta Jawatankuasa Masjid dan Surau dalam beberapa hari lepas telah bertungkus lumus menyediakan barangan tersebut untuk diagihkan melalui penghantaran lori ke setiap kampung dan rumah panjang.

Setiap ketua keluarga hanya perlu menunggu di kediaman masing-masing sahaja untuk menerima barangan bantuan tiba mengikut jadual yang ditetapkan. Urusan mengedar bantuan makanan ke setiap kampung atau rumah panjang akan diurus oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) masing-masing.

Bantuan ini adalah usaha Kerajaan GPS SARAWAK dan Kerajaan Pusat yang diterajui PN+GPS untuk memboleh rakyat terus mendapat bekalan makanan dalam keadaan yang amat mencabar sekarang sehingga keadaan pulih seperti biasa. Adalah diharapkan bantuan ini akan dapat meringankan beban para penduduk kawasan DUN SEBUYAU yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha Kerajaan hendak memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 pada masa sekarang.

Agihan makanan asas dilakukan di Dewan Kampung Sampat, Sebangan yang kemudiannya akan dihantar kepada penduduk DUN Sebuyau

Sebelum ini pun ada di antara pihak JKKK kawasan Sebuyau yang proaktif telah menghulur bantuan awal dalam bentuk bahan makanan di kampung/rumah panjang masing-masing dengan menggunakan peruntukan (geran) awal yang diluluskan kepada JKKK sebelum ini yang masih ada dalam simpanan masing-masing.

Bantuan ini adalah usaha kerajaan untuk memastikan rakyat terus dibekalkan dengan bekalan makanan sehingga wabak Covid-19 dapat dikawal sepenuhnya.

Pada masa yang sama para penduduk kawasan Sebuyau dinasihatkan supaya terus memberi kerjasama dan mematuhi arahan PKP yang berkuatkuasa sekarang. Ini penting untuk membantu usaha kerajaan memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 supaya keadaan dapat dipulihkan seperti biasa.

Bersedia menghantar makanan ke kampung-kampung dan rumah panjang sekitar DUN Sebuyau

Sumber : DUN Sebuyau, UKAS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here