PDRM Juara Kejohanan Olahraga Maksak Sarawak 2019

0
483
Antara sebahagian peserta dan kenamaan yang hadir semasa acara penutupan Kejohanan Olahraga Maksak Sarawak 2019

KOTA SAMARAHAN, 13 MAC 2019 (SNN) – Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) muncul juara keseluruhan Kejohanan Olahraga Maksak Sarawak 2019. Kejohanan ini telah berlangsung selama 3 hari pada 8 Mac -10 Mac 2019 bertempat di Stadium Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Sebanyak 11 Jabatan Persekutuan dan Negeri telah menyertai kejohanan tersebut pada kali ini iaitu SEDC Sarawak, Jabatan Kimia Sarawak, Kelab Kakitangan UiTM Sarawak, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kelab Perubatan Sarawak, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), PSKPP Sarawak (Pendidikan), Kuching Port (KuPort), Land And Survey, Jabatan Ketua Menteri, dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) selaku tuan rumah.

Antara objektif penganjuran kejohanan ini ialah menggalakkan penyertaan aktif di kalangan penjawat awam untuk berkecimpung di dalam sukan olahraga, menyemai serta menggalakkan semangat kesukanan yang tinggi dan semangat berpasukan di kalangan penjawat awam, mengeratkan silaturahim dan menggalakkan kerjasama yang lebih erat di kalangan jabatan atau kelab yang bertanding dan melahirkan penjawat awam yang sihat, cergas, cerdas, bertanggungjawab dan berwibawa.

Menurut Pn. Norhamimah Buang dari Pusat Sukan UNIMAS, seramai 511 atlet, pegawai dan petugas yang terlibat dalam memastikan kelangsungan dan kelancaran kejohanan selama tiga hari tersebut.

Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) muncul juara keseluruhan Kejohanan Olahraga MAKSAK Sarawak 2019 apabila memperolehi 18 emas, 12 perak, dan 25 gangsa untuk menewaskan pasukan-pasukan lain.  Naib Johan pula menjadi milik pasukan Pendidikan dengan 16 emas, 17 perak, dan 14 gangsa. Pasukan tuan rumah, UNIMAS berada di tempat ketiga keseluruhan apabila memperolehi 15 Emas, 23 Perak, dan 8 Gangsa.

Bagi kategori lelaki pula, pasukan UNIMAS mengungguli apabila dinobatkan sebagai johan kategori lelaki dengan 12 emas, 19 perak dan 4 gangsa dan pasukan daripada Perubatan pula menjadi johan kategori wanita dengan 9 emas, 8 perak dan 4 gangsa.

Majlis perasmian penutupan telah disempurnakan oleh Yang Berhormat, Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Bin Abdul Ghani, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak merangkap Yang Dipertua MAKSAK Sarawak.

Beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua atlet yang telah menyertai kejohanan pada edisi kali ini. Juga ucapan jutaan terima kasih buat semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan kejohanan pada kali ini.

Para peserta yang terlibat dalam acara olahraga

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here