Pandalela Dan Dewi Sumber Inspirasi Generasi Muda Sarawak Masa Ini

0
237
Pandalela johan sukan terjun

KUCHING – Sarawak kini telah banyak melahirkan ikon-ikon yang berjaya, baik di peringkat negeri mahupun antarabangsa. Pandalela Rinong dan Dewi Liana Seriestha merupakan anak jati Sarawak yang telah banyak memberi sumbangan besar kepada negara. Dua nama besar ini tidak lekang daripada minda masyarakat.

Pandalela Rinong merupakan atlet wanita negara dalam acara terjun dan beliau juga telah mendapat gelaran atlet wanita negara pertama yang memenangi pingat perak pada Sukan Olimpik dalam acara terjun. Dewi pula merupakan Ratu Cantik Malaysia dan peserta pertama dari Malaysia yang memenangi kategori Ratu Bakat Dunia pada pertandingan berprestij di London 2014.

Pandelela yang ditemui pada pelancaran buku tersebut berkongsi keterujaannya mengenai buku biografi yang pertama diterbitkan mengenai dirinya. Penerjun negara yang berasal dari Kampung Jugan, Bau ini berkata bahawa buku berkenaan adalah mengenai usaha serta kepayahannya untuk berjaya dalam sukan terjun.

“Secara peribadi, saya bersyukur atas terbitan buku mengenai biografi saya ini dan saya berharap ia dapat memberi inspirasi kepada anak-anak muda di luar sana,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan terdekatnya, penerjun berusia 25 tahun ini berkata beliau akan fokus kembali kepada latihan selepas bergelut dengan kecederaan pada Sukan Asia yang baharu sahaja berakhir.

Pandelela dijadual akan menyertai Kejohanan Dunia di China, Rusia dan England pada 2019 ini dan kelayakan Olimpik di Tokyo 2020.

Dewi seorang ratu cantik Malaysia

Sementara itu, Dewi yang giat aktif dalam bidang nyanyian dan peragaan turut berharap buku ini akan memberi inspirasi untuk ramai lagi golongan muda mencapai cita-cita mereka.

“Buku ini banyak memaparkan perjalanan hidup dan kerjaya saya dengan gambar-gambar bermula daripada penglibatan awal saya dalam bidang seni. Buku ini adalah satu lagi pencapaian dalam kerjaya saya sebagai anak seni dan saya berharap ia akan dapat membantu saya ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Dewi dalam pada itu bakal mengeluarkan album bahasa Inggeris pada Oktober atau November ini untuk menembusi pasaran antarabangsa. Dalam pada itu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sangat berbangga melancarkan kedua-dua buku tersebut.

Pandelela dan Dewi katanya, membuktikan anak Sarawak bukan sekadar jaguh kampung tetapi jaguh dunia dalam bidang sukan dan seni.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here