Nancy melantik Sanib sebagai Ahli Lembaga Penasihat Arkib Negara Malaysia

0
3187
Nancy menerima kertas cadangan kajian daripada Sanib. Gambar SB

KUCHING, 5 JULAI 2020 (SNN) – YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri telah menyampaikan surat pelantikan kepada Datu Dr. Sanib bin Hj. Said sebagai Ahli Lembaga Penasihat Arkib Negara Malaysia petang tadi.  Nancy merupakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia yang bertanggungjawab kepada pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan termasuk Arkib Negara Malaysia yang mempunyai cawangan di negeri Sarawak.

Nancy berkata dengan kelayakan dan pengalaman yang luas, Sanib akan mampu memberikan sumbangan kepada kemajuan Arkib Negara Malaysia di peringkat kebangsaan. Sanib mengucapkan terima kasih kepada Nancy kerana memberi kepercayaan kepada beliau menjadi ahli lembaga tersebut.

Sanib Said (67) merupakan salah seorang sejarawan yang terkenal di Sarawak dan Malaysia.  Sebagai seorang sejarawan beliau banyak menggunakan perkhidmatan arkib bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di luar negara.  Penyelidikan yang dilakukan beliau telah menghasilkan tesis dan buku tentang sejarah Sarawak.  Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa Sanib pernah berkhidmat sebagai Pegawai Arkib dan sempat mengikuti kursus Post-Graduate Diploma in Information Management and Archives Administration di University of New South Wales, Australia pada tahun 1982. Beliau merupakan mantan Ketua Jabatan Sejarah, Universiti Brunei Darussalam; Pengarah, Jabatan Muzium Sarawak dan Pengarah, Institut Pengajian Asia Timur, Universiti Malaysia Sarawak. Google telah mengiktiraf Sanib sebagai Knowledge Panel.

Arkib Negara Malaysia telah ditubuhkan dengan pada tahun 1957 dengan nama Public Records Office dan pada tahun 1963 telah diberikan nama Arkib Negara Malaysia.  Pada tahun 1966 kerajaan telah meluluskan Akta Arkib Negara. Fungsi Lembaga Penasihat Arkib Negara Malaysia ialah “1. Menasihati Ketua Pengarah tentang apa-apa perkara yang dirujuk kepada Lembaga Penasihat dari masa ke semasa. 2. Menasihati Ketua Pengarah tentang apa-apa perkara yang difikirkan patut oleh Lembaga Penasihat.”

Nancy sempat berbincang dengan Sanib tentang peranan kebudayaan dan seni dalam industri pelancongan. Sehubungan itu, Sanib yang merupakan Pengurus Besar, Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak, memaklumkan tentang kegiatan badan tersebut. Antaranya ialah penyelidikan sejarah dan warisan kebudayaan Negeri Santubong yang hampir selesai untuk diterbitkan sebagai sebuah buku. SNN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here