Majma’ Raya Fest 2019 Bakal Jadi Tumpuan Sepanjang Ramadhan

0
965
Hajah Juma'ani semasa melakukan upacara gimik perasmian Majma’ Raya Fest 2019 bertempat di ruang legar Majma’ Mall, Kompleks Islam Sarawak

KUCHING, 5 Mei 2019 (SNN)- Pengurusan Kompleks Islam Sarawak, Kuching menganjurkan Majlis Perasmian ‘Majma’ Raya Fest 2019’ bertempat di Ruang Legar Majma’ Mall, Kompleks Islam Sarawak. Majlis Perasmian tersebut disempurnakan oleh YABhg. Datuk Amar Hajah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang, isteri YAB Ketua Menteri Sarawak.

Ketibaan beliau disambut meriah dengan persembahan angklung, tarian tradisional dan persembahan nyanyian daripada anak- anak muda Sarawak sebelum dijemput menaiki ruang pentas untuk upacara gimik perasmian. Beliau kemudiannya dialu-alukan untuk melawat tapak jualan dimulai dengan lawatan ke tapak jualan di Ruang Legar dan seterusnya ke tapak jualan di Marque Tent.

‘Majma’ Raya Fest 2019’ kali yang ke-4 ini mulai beroperasi pada 5 Mei sehingga 4 Jun 2019, jam 10.00 pagi sehingga jam 10.00 malam. Antara okjektif penganjuran ‘Majma’ Raya Fest 2019’ ialah bagi menyediakan ruang dan prasarana untuk masyarakat Islam mempertingkatkan lagi sosio-ekonomi mereka melalui perniagaan terutamanya sepanjang bulan Ramadhan al-Mubarak ini. Di samping itu, mereka juga berpeluang untuk mempromosikan produk jualan, seperti koleksi pelbagai jenis pakaian lelaki, wanita dan juga pakaian kanak-kanak untuk menyambut hari lebaran Aidil Fitri.

Lokasinya yang begitu strategik di tengah-tengah Bandaraya Kuching, Majma’ Mall sudah semestinya menjadi tumpuan umum yang terkenal sebagai pusat jualan mega persiapan Hari Raya Aidil Fitri bagi umat Islam Sarawak, khususnya bagi mereka yang berada di Bahagian Kuching dan juga Samarahan.

Selain menyediakan kemudahan premis jualan, pihak Pengurusan Kompleks Islam juga turut mengadakan pelbagai aktiviti dan program yang menarik pada setiap hujung minggu sebagai daya tarikan kepada para pengunjung, iaitu seperti Pertandingan Nasyid, Tilawah Al-Quran, Gema Aidilfitri, Pertandingan Mengikat Sampin, Mengayam Ketupat serta Nyanyian Busker.

Di samping itu, cabutan bertuah juga turut diadakan kepada para pengunjung yang membeli belah di Majma’ Mall. Hadiah berupa kupon pembelian berjumlah RM 300.00 setiap orang, dan jumlah keseluruhan Cabutan Bertuah mencecah sehingga RM 10,000.00. Sesi acara cabutan bertuah akan dilakukan pada setiap hujung minggu dan telah dibahagikan kepada 4 minggu. Pada setiap minggu akan ditentukan seramai lapan pemenang yang bertuah.

Bagi menampung keperluan dan permintaan para peniaga, pihak penganjur ‘Majma’ Raya Fest 2019’ telah membuka ruang lagi di kawasan ruang legar dan juga telah mendirikan sebuah Marque Tent untuk mempelawa peniaga luar yang berminat untuk membuka ruang jualan mereka dengan harga sewa yang berpatutan. Premis yang sedia ada di dalam Mall sebanyak 71 (termasuk ruang baru di dalam Mall) di Ruang Legar sebanyak 35 ruang, manakala di Marque Tent sebanyak 66 ruang premis disediakan.

Para pengunjung Majma’ Raya Fest 2019, juga boleh membeli dan memilih pelbagai aneka masakan untuk juadah berbuka puasa di Food Court, Aras 3. Para pengunjung dapat menikmati pelbagai masakan tempatan dan juga luar negara, seperti masakan Thailand, Arab, Jepun dan sebagainya. Di samping itu, kemudahan untuk umat Islam mengerjakan ibadah Solat Fardhu dan juga solat sunat Tarawih ada disediakan, iaitu sebuah surau yang serba lengkap dan selesa yang boleh menampung jemaah seramai 300 orang.

Turut hadir sama di majlis tersebut ialah YBhg. Datu Haji Misnu Bin Haji Taha, Yang DiPertua Majlis Islam Sarawak dan YBhg. Datu Haji Abang Mohammad Shibli Bin Haji Abang Mohammad Nailie, Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak.

Hajah Juma’ani meninjau keadaan tapak jualan iaitu salah sebuah premis pakaian sambil diiringi bersama oleh Haji Misnu dan Haji Abang Mohammad Shibli

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here