KABONG, 10 November 2019 (SNN) : Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Kabong disambut secara meriah dengan kehadiran lebih 3000 penduduk kampung yang menyertai perarakan Maulidur Rasul dan pelbagai pertandingan yang telah bermula dari 4 November dan berlanjutan sehingga hari kemuncak sambutan.
Umat Islam di Kabong meraikan hari yang penuh bersejarah ini dengan menunjukkan kerjasama dalam menjayakan perarakan Maulidur Rasul yang disertai oleh 38 kontijen daripada pelbagai jabatan, agensi, sekolah, persatuan, JKKK kampung, surau dan masjid malahan badan bukan kerajaan di mana situasi ini menggambarkan nilai-nilai murni Islam yang dihayati dengan baik.
Seawal jam 7.00 pagi perarakan bermula di Town Square Kabong dan berakhir di Masjid As-sabirin, Kabong diketuai sendiri oleh ADUN N.40 Kabong Yang Berhormat Encik Mohd Chee Bin Kadir.
Sepanjang perarakan, bacaan ayat-ayat suci Al-Quran telah diperdengarkan bagi menambah keberkatan program ini di mana aktiviti perarakan sambil berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W ini diharap dapat menyegarkan ingatan dan kecintaan umat Islam kepada Rasulullah S.A.W. sekaligus mengukuhkan ikatan silaturrahim masyarakat di sini.
Jurucakap program berkenaan Encik Nur Elffi Bin Amir yang juga merupakan Pegawai Tugas Khas kepada ADUN Kabong, Yang Berhormat Encik Mohd Chee Bin Kadir berkata, sambutan amat menggalakkan, dan kerjasama amat baik ditunjukkan oleh semua pihak yang terlibat.
“Tanpa kerjasama dari semua pihak, maka sukar untuk melaksanakan serta menjayakan program keagamaan sebegini,” katanya lagi.
Beliau turut menyatakan bahawa program sebegini mampu mengeratkan silaturrahim sesama umat Islam di samping meningkatkan keimanan.
“Semangat Maulidur Rasul yang disambut hari ini dapat menyemaikan kemesraan antara umat Islam di sini, apatah lagi dengan kehadiran Yang Berhormat Encik Mohd Chee Bin Kadir dan isteri,” ujarnya lagi.
Antara pengisian program pada kali ini adalah Pertandingan Kuiz Agama, Pertandingan Syarahan Agama, Pertandingan Surah Lazim (USK), Pertandingan Azan, Pertandingan Perarakan, Pertandingan Sepanduk, Pertandingan Selawat Terbaik, dan Pertandingan Booth Makanan.
JKKK Kampung Baru, Kabong menggondol dua kemenangan melalui Johan Perbarisan dan juga Johan Sepanduk. Manakala Selawat Terbaik dimenangi oleh SK Sg. Pasir.
Majlis turut dihadiri oleh Yang Berbahagia Tuan Mohamad Rashdan Bin Haji Hazemi, Pegawai Daerah Kabong, ketua-ketua jabatan dan agensi, penghulu dan ketua kampung serta tetamu jemputan yang lain.