UNIMAS Rasmi Bangunan Fakulti Alam Bina

0
203
Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie merakamkan gambar bersama para pelajar dan staf UNIMAS di Lobi, Fakulti Alam Bina UNIMAS.

11 November 2019, Kota Samarahan (SNN) : UNIMAS hari ini sekali lagi mencatatkan sejarah dengan Majlis Perasmian Bangunan Fakulti Alam Bina (FAB) yang dirasmikan oleh YBhg Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie, Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS.

FAB merupakan Fakulti ke -10 ditubuhkan di UNIMAS dan kini mempunyai bangunan pentadbiran dan ruang pengajaran dan pembelajaran yang sendiri. Tarikh dan masa yang dipilih untuk majlis hari ini adalah 11/11/2019, jam 11 pagi.

Menyingkap sejarah penubuhan FAB, Program Ijazah Sarjana Muda Kepujian (sains) Senibina, merupakan program pertama di bawah Fakulti Alam Bina yang pada mulanya ditawarkan di bawah Fakulti Kejuruteraan pada tahun 2017. Kohort pertama bermula dengan ambilan pelajar seramai 20 orang dan pada tahun ini mereka semua berada di dalam tahun akhir dan akan bergraduat pada tahun hadapan.  

Pada masa itu, pentadbiran dan urusan akademik diletakkan di bawah pengurusan Fakulti Kejuruteraan. Kemudian pada tahun 2018, satu lagi program baharu iaitu Program Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan (Kepujian) ditawarkan pada sesi 2018/2019 dan kedua-dua program ini masih ditawarkan di bawah Fakulti Kejuruteraan.

Namun mengambil keperluan dan kehendak Lembaga Arkitek Malaysia dan Lembaga Juruukur Bahan Malaysia, di mana kedua-dua program ini perlu ditawarkan di bawah Fakulti sendiri, maka Universiti telah bersetuju menubuhkan Fakulti Alam Bina yang merupakan fakulti ke-10 di UNIMAS untuk menawarkan kedua-dua program ini.

Penubuhan Fakulti ini telah secara rasminya dilancarkan pada September 2018 di mana pada masa tersebut pengurusan baharu telah dilantik dan Fakulti Alam Bina telah beroperasi di The CUBE, UNIMAS.

Dengan usaha gigih daripada pengurusan Fakulti Alam Bina, maka pada Julai 2019, secara rasminya  Kementerian Pengajian Tinggi telah meluluskan kedua-dua program ini, yang kini telah ditawarkan secara sepenuhnya di bawah Fakulti Alam Bina.

Bermula awal September 2018,  pada permulaan penubuhan FAB, pengurusan dan pentadbiran FAB telah ditempatkan secara sementara di The CUBE. Pada masa tersebut kesemua pensyarah FAB dan staf pentadbiran berada di The CUBE manakala sesi perkuliahan pula diadakan di bangunan Fakulti Kejuruteraan.

Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie menandatangani plak perasmian bangunan Fakulti Alam Bina UNIMAS sambil disaksikan oleh
tetamu kehormat yang lain.  
Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie (tengah) bergambar kenangan bersama tetamu kehormat yang lain dengan plak perasmian bangunan Fakulti Alam Bina UNIMAS.

Komited dalam menyediakan ruang pejabat dan tempat kerja  yang selesa untuk setiap warga kerjanya dan seterusnya menyediakan ruang  pengajaran dan pembelajaran yang kondusif untuk kemudahan pelajar, maka, Universiti telah memperuntukkan hampir RM 5 juta untuk kerja ubah suai bangunan Makmal Luar Fakulti Sains dan Teknologi Sumber ( sebelum ini ), untuk dijadikan bangunan Fakulti Alam Bina.

Kerja ubah suai bangunan ini telah dimulakan pada  Januari 2019 dan pada awal  November 2019 kerja ubah suai ini telah siap sepenuhnya yang kini menempatkan pejabat pentadbiran, 18 buah bilik pensyarah, tiga buah studio senibina, empat buah studio ukur bahan, dua makmal komputer, empat bilik seminar , pusat sumber, galeri, bilik cetakan , bangunan Teknologi Sains dan makmal kayu. Bermula September sesi 2019/2020 kesemua kelas yang dahulunya menggunakan ruang di Fakulti Kejuruteraan telah diadakan di bangunan ini.

Turut hadir pada majlis perasmian hari ini Naib Canselor Prof Datuk Mohamad Kadim Suaidi, Prof Ar Nur Akmal Abdullah, Dekan Fakulti Alam Bina, Puan Korina Ibrahim Pengarah Pusat Khidmat Maklumat Akademik, En Humphrey Rayang Janang Pengarah Pejabat Pembangunan, Dekan-Dekan , Pengarah-Pengarah , Pegawai-pegawai agensi jemputan pensyarah serta para pelajar.

Naib Canselor Prof Datuk Mohamad Kadim Suaidi bergambar bersama Pn. Sitti Diana Tamjehi dan pelajar yang terlibat dalam persembahan sempena Majlis Perasmian Bangunan Fakulti Alam Bina
Pensyarah dari FSSK dan FSGK turut hadir memeriahkan Majlis Perasmian Fakulti Alam Bina hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here