Kerajaan negeri umum potongan bil air berjumlah RM25.26 juta

0
149
Gambar (hiasan) : Kerajaan negeri umum inisiatif potongan bil air kepada pengguna di Sarawak

KUCHING, 18 JULAI 2020 (SNN) : Kerajaan Sarawak mengumumkan potongan bil air kepada semua pengguna di negeri ini bagi meringankan beban rakyat khususnya dalam keadaan sekarang negara masih berdepan dengan pandemik wabak Covid-19 yang memberi impak keatas sosioekonomi.

Menteri Utiliti Datuk Seri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, ini merupakan salah satu langkah yang dilaksanakan di bawah Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS).

Sebelum wabak ini melanda negara kerajaan negeri sudah memperkenalkan program ini termasuk penyediaan air percuma dengan potongan sebanyak RM5 pertama setiap bil air bermula pada 1 Januari 2020 lepas.

“Ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan Sarawak bagi mengurangkan bebanan rakyat terutama masyarakat luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Ekoran serangan wabak ini keatas negara, kerajaan negeri mengambil beberapa langkah proaktif bagi mengurangkan beban rakyat. Salah satunya ialah dengan memberikan potongan bil air selama enam bulan yang berkuat kuasa pada 1 April 2020 hingga 30 September 2020.

“Potongan bil air yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 570,000 pengguna di seluruh Sarawak adalah program yang diperkenalkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg melalui program BKSS pada Mac lalu bagi membantu rakyat Sarawak menghadapi impak Covid-19,” ujarnya lagi.

Beliau turut memberitahu akan terus bekerjasama dengan semua agensi bekalan air seperti Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, Lembaga Air Kuching (KWB), Lembaga Air Sibu (SWB) dan Laku Management Sdn Bhd.-Nizal.

Kenyataan media dari Kementerian Utiliti Sarawak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here