Ilhan Omar dan Rashida Tlaib Catat Sejarah Sebagai Dua Wanita Islam Pertama Berjaya Dilantik Di Dalam Kongres Amerika Syarikat.

0
944
Ilhan Omar bersama para penyokongnya ( Foto: akamaized.net )

CHICAGO, 9 Mac 2019 (SNN) – Pilihan raya pertengahan Amerika Syarikat telah menyaksikan kesemua 435 kerusi di Dewan Perwakilan Amerika Syarikat dan 35 daripada 100 kerusi di Senat Amerika Syarikat dipertandingkan. Sebanyak 223 kerusi Dewan Perwakilan AS dimenangi Parti Demokratik manakala selebihnya 197 kerusi lagi menjadi milik Parti Republikan diterajui Presiden Donald Trump.

Daripada kerusi-kerusi yang dipertandingkan, Ilhan Omar, 37, dan Rashida Tlaib, 42, telah mencatatkan sejarah baru dalam pentadbiran negara  itu di mana mereka merupakan wanita Islam pertama yang dilantik untuk berkhidmat untuk Kongres Amerika Syarikat. Ilhan Omar berjaya menewaskan calon Republikan,  Jennifer Zielinik dan memenangi kerusi di Daerah Kongres ke-5 Minnesota. Manakala Rashida Tlaib pula menang selesa tanpa bertanding selepas memperolehi pencalonan daripada parti Demokratik pada bulan Ogos tahun lepas. Beliau memenangi kerusi di Daerah Kongres ke-13 Michigan.

Kedua-dua wanita ini merupakan ahli Demokrat dari daerah barat tengah Amerika Syarikat yang lantang bersuara tentang isu-isu masyarakat minoriti yang mereka anggap disasarkan melalui dasar-dasar anti-imigresen Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Kemenangan dua ahli politik itu menjadikan jumlah wakil Islam di Dewan Perwakilan kepada tiga. Sorang lagi ahli kongres Demokrat, Andre Carson, seorang Afrika-Amerika Islam turut dilantik semula selepas menang di Indiana.

Ilhan Omar

Ilhan Omar mencatatkan sejarah baru  dalam politik di Amerika Syarikat apabila menjadi wanita Islam pertama yang berjaya dilantik di dalam Kongres Amerika Syarikat bersama Rashida Tlaib.

Ilhan Omar, yang merupakan seorang  wanita Somali-Amerika merupakan seorang pelarian yang datang ke Amerika Syarikat daripada  perang saudara di Somalia bersama kedua-dua ibu bapanya pada usia lapan tahun dan pernah  tinggal di sebuah kem pelarian selama empat tahun di Kenya.

Pada tahun 2016, beliau menjadi penggubal undang-undang dari kalangan Somalia-Amerika dan orang Islam yang pertama dilantik untuk berkhidmat di Dewan Perwakilan Minnesota. Dengan perlantikan ini Ilhan Omar bukan hanya wanita Muslim pertama yang mewakili Minnesota tetapi juga menjadi wakil Demokrat yang pertama dari Minnesota sejak tahun 1962. Kejayaan Illhan Omar dikaitkan juga dengan kempen beliau “Medicare for all” yang mana beliau berjanji untuk mempertahankan jaminan kesihatan untuk semua seperti yang dicetuskan oleh bekas Presiden AS, Barack Obama.

Dengan perlantikan ini, Ilhan Omar berjanji untuk melakukan perubahan dan reformasi dalam perkara yang berkaitan dengan pendidikan kolej percuma, perumahan malahan perubahan sistem keadilan dan undang-undang jenayah. Dalam masa yang sama beliau juga dikenali sebagai seorang yang berani mengkritik Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berhubung kemasukan pendatang dari negara-negara Islam.  Beliau menolak dasar-dasar imigresen terbatas yang dilaksanakan Presiden Trump dan ingin memansuhkan Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam Amerika Syarikat yang pernah menjalankan serbuan untuk mengusir para pendatang.

Rashida Tlaib

Rashida Tlaib, 42, lahir di Detroit yang mana kedua ibubapanya adalah warganegara Palestin. Beliau melakar sejarah pada tahun 2008  apabila memenangi kerusi di Dewan Perwakilan Michigan dan kemudiannya beliau telah berkhidmat di sana bermula pada tahun 2009-2014. Semasa menjadi perwakilan di Dewan Pewakilan Michigan, beliau telah membantu untuk mendapatkan dana yang bernilai berjuta dolar bagi penubuhan klinik kesihatan percuma, menjalankan  program “Meals on Wheels” untuk warga emas serta melakukan program pembiayaan pendidikan sebelum dan selepas sekolah.

Dengan prestasi yang baik di Michigan, adalah sesuatu yang tidak mengejutkan apabila Rashida Tlaib menang tanpa bertanding di Michigan, yang menjangkau daerah Detroit hingga ke Dearborn.

Rashida Tlaib memperjuangkan penjagaan kesihatan menyeluruh untuk rakyat, gaji minimum kebangsaan sebanyak AS$15 serta perlindungan kesatuan sekerja dan yuran kolej percuma. Beliau juga merupakan pengkritik Donald Trump yang tegar dan pernah dihalau keluar daripada majlis makan tengah hari di Detroit pada tahun 2016 selepas mengganggu penamaan calon (ketika Donlad Trump  masih belum menjadi  Presiden) berkenaan dasar-dasar dan layanan terhadap wanita. Beliau juga turut mengkritik Donald Trump di atas layanan kasar terhadap imigran di Amerika Syarikat.

Kerusi yang beliau menang tanpa bertanding itu merupakan daerah yang majoriti penduduknya berketurunan Afrika Amerika dan tidak mempunyai ramai pengundi Islam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here